PENGUNJUNG SETIA

19 November 2009

2,000 JAKET DIAGIH KEPADA MURID

Oleh Junita Mat Rasid
junita@bharian.com.my

KUNDANG ULU: Kira-kira 2,000 jaket keselamatan bernilai lebih RM120,000 diagihkan kepada murid dan pelajar yang berulang alik dengan menggunakan sampan atau bot ke 59 sekolah yang terletak di tepi sungai atau laut di seluruh negeri ini, sebagai langkah keselamatan.

Daerah Kota Tinggi mencatatkan jumlah pelajar paling ramai yang menggunakan pengangkutan air untuk ke sekolah iaitu 535 orang dari enam sekolah, diikuti Pontian 348 pelajar (sembilan sekolah), Johor Bahru 256 pelajar (lima sekolah), Kluang 237 pelajar (sembilan sekolah).

Batu Pahat 215 pelajar (lima sekolah), Mersing 203 pelajar (tujuh sekolah), Muar 138 pelajar (lima sekolah), Segamat dengan 80 pelajar (tiga sekolah) dan kawasan Pasir Gudang dengan 40 pelajar (dua sekolah).

Murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan Jorak, Muar, Mohamad Amirul Nasir, berkata, setiap hari beliau bersama lima lagi adik beradiknya berulang alik dengan menggunakan perahu untuk ke sekolah.

Beliau yang tinggal di Kampung Kolam mengambil masa kira-kira lima minit untuk melintas Sungai Muar berbanding perjalanan melalui jalan darat untuk ke sekolah terdekat mengambil masa lebih setengah jam.

"Saya tak takut naik sampan untuk ke sekolah tetapi dengan adanya jaket ini, keselamatan saya sepanjang berada dalam sampan lebih terjamin," katanya.

Bagi pelajar tingkatan lima SMK Tengku Temenggung Ahmad, Nur Hafizah Mohd Arof, pemakaian jaket keselamatan itu memberi keyakinan terhadap keselamatannya setiap kali berulang alik ke sekolah daripada rumahnya di Kampung Liang Batu.

Katanya, walaupun hanya mengambil masa kira-kira lima sahaja untuk menyeberang sungai dengan menggunakan bot, beliau tetap rasa takut dan bimbang terhadap keselamatannya dan pelajar lain jika berlaku bot karam.

“Melalui penggunaan jaket keselamatan itu, saya rasa lebih yakin dengan tahap keselamatan," katanya.

Ketua Sektor Pembangunan Kemanusian Jabatan Pelajaran Johor, Abdul Aziz Redwan, berkata pengagihan jaket keselamatan itu diberikan berikutan terdapat sebilangan pelajar yang tinggal di kawasan pesisiran sungai dan pantai yang masih menggunakan pengangkutan air untuk berulang alih ke sekolah.

Katanya, penggunaan jaket keselamatan itu dapat mengurangkan risiko kemungkinan berlakunya kejadian yang tidak diingini menyebabkan langkah keselamatan pemakaiannya dijalankan bagi memastikan keselamatan mereka.

SUMBER: BERITA HARIAN EDISI JOHOR, 19 NOVEMBER 2009

1 ulasan:

Syahir Mohamad berkata...

salam..
usaha yang bai.. mencegahkan lebih baik dari mengubati..