PENGUNJUNG SETIA

12 November 2009

GENG SAMUN, PECAH RUMAH REMAJA TUMPAS

LEDANG 11 Nov. - Polis menumpaskan dua kumpulan remaja bermotosikal yang terbabit dalam kejadian samun dan pecah rumah di sekitar daerah ini setelah menahan 14 individu dalam beberapa operasi, baru-baru ini.

Dalam kes membabitkan curi motosikal, sebanyak tujuh lelaki berusia 14 hingga 17 tahun ditahan manakala enam remaja berusia antara 16 hingga 24 tahun ditahan kerana terlibat dalam pecah rumah.

Turut ditahan, seorang lelaki berusia 44 tahun yang merupakan pembeli barang curi. Mereka ditahan dipelbagai lokasi dalam operasi yang diadakan di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Ledang, Supritendan Harun Idris berkata, kumpulan remaja curi motosikal itu diberkas selepas serbuan pertama dilakukan di rumah suspek di Sungai Mati di sini pada 18 Oktober lalu.

"Enam daripada tujuh remaja ini masih bersekolah manakala seorang lagi telah berhenti dari persekolahan.

"Dengan penahanan mereka, polis percaya sebanyak lima kes curi motosikal di daerah ini berjaya diselesaikan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Ledang, Tangkak di sini semalam.

Menurutnya, dalam operasi yang dijalankan itu, tiga motosikal curi dan beberapa komponen motosikal ditemui di rumah suspek.

"Kumpulan ini menjual motosikal curi pada harga murah sekitar RM100 hingga RM150 dan mereka mencampakkan komponen yang tidak dimahukan di Sungai Serom.

"Kami akan meneruskan siasatan pembabitan kumpulan ini dalam kes lain memandangkan ia telah beroperasi sejak tiga bulan lalu," katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Harun yakin sebanyak tiga kes pecah rumah dan satu kes curi dalam rumah di Tangkak berjaya diselesaikan dengan penahanan enam remaja dan seorang lelaki berusia 44 tahun pada 14 Oktober lalu.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 12 NOVEMBER 2009

Tiada ulasan: