am@hmetro.com.my
TANGKAK: Gara-gara bermain pemetik api, dua rumah bersebelahan yang menempatkan keluarga dua wanita bermadu bersama enam anak musnah dalam kebakaran di Kampung Rawang, dekat sini, semalam.
Kebakaran kira-kira jam 3.15 petang itu memusnahkan rumah dua pintu yang disewa RM280 sebulan oleh seorang pekebun yang didiami dua isterinya bersama enam anak mereka.
Kebakaran dipercayai berlaku apabila anaknya yang berusia empat tahun bermain pemetik api dalam bilik utama yang membakar tilam sebelum merebak ke seluruh rumah berkenaan.
Norhayati Abdul Rahman, 39, berkata, kejadian berlaku ketika dia bersama madunya, Salmiah Ngadi, 41, membuat karipap untuk dijual pada waktu malam di sekitar pekan itu dan Muar.
Katanya, dia hanya menyedari kebakaran itu apabila melihat asap daripada bawah pintu bilik dan sebaik membukanya melihat api mula marak membakar tilam yang disandar pada dinding.
“Saya sibuk menyiapkan inti karipap bersama madu apabila menyedari anak sulung, Haikal Azhar bersama adiknya, Ayub yang berusia dua tahun bermain pemetik api dalam bilik tidur itu hingga menyebabkan tilam terbakar,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Katanya, ketika kejadian, suami mereka, Azhar Wayob, 43, berada di kebun kelapa sawit di Kundang Ulu.
Dia berkata, pada mulanya mereka cuba memadamkan api pada tilam itu tetapi tekanan air rendah menyebabkan usaha itu gagal.
“Kami cuba meminta bantuan jiran menarik tilam yang terbakar itu keluar rumah, malangnya ketika kejadian hanya ada jiran wanita.
“Saya tidak dapat berbuat apa-apa apabila melihat api mula marak kecuali membawa tiga anak termasuk berusia tiga bulan keluar menyelamatkan diri,” katanya.
Katanya, pada masa sama, madunya turut membawa keluar tiga lagi anaknya dari rumah bersebelahan sebelum api marak dan memusnahkan kedua-dua rumah berkenaan.
Norhayati berkata, rumah dua pintu itu disewa pada kadar RM150 dan RM130 sejak 2007.
Sementara itu, Pegawai Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat daerah, Ismail Mahmood, berkata tiga jentera bomba iaitu dua dari Muar dan sebuah dari Tangkak bersama 17 anggota dihantar ke tempat kejadian.
Katanya, ketika pasukannya tiba, api marak memusnahkan rumah dua pintu itu tetapi tiada sebarang kecederaan dilaporkan.
SUMBER: HARIAN METRO, 14 NOVEMBER 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan