PENGUNJUNG SETIA

09 Mei 2010

ABANG PARAH DITIKAM ADIK

Oleh JUNITA MAT RASHID

TANGKAK: Akibat meminta sebatang rokok, seorang lelaki nyaris maut apabila ditikam adiknya yang tiba-tiba mengamuk di rumah mereka di Parit Jarum Laut, Bukit Gambir, di sini, kelmarin.

BERDARAH...lantai bilik  berlumuran darah.
BERDARAH...lantai bilik berlumuran darah.


Mangsa kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) dan keadaannya dilaporkan stabil.

Tindakan pantas bapa mereka, Mustafa Osman, 61, yang menepis serangan parang berjaya mengelak mangsa daripada terus ditikam, malah mangsa turut diugut akan dicungkil biji mata.


Suspek turut memberi amaran akan mencederakan ibu bapanya jika mereka menghalang perbuatannya.

Ibu mereka, Fatimah Mat Said, 47, berkata kejadian berlaku ketika dia selesai solat Isyak apabila anak keduanya, Mohd Khairuddin atau lebih dikenali dengan panggilan abang pulang ke rumah selepas keluar ke Pekan Bukit Gambir, manakala Fauzi yang dipanggil adik serta suaminya berada di ruang tamu menonton televisyen.

“Ketika Mohd Khairuddin masuk ke rumah, dia meminta sebatang rokok daripada adik dan berjanji untuk menggantikannya. Adik terus bangun daripada kerusi dan saya menyangka dia mahu mengambil rokok, sebaliknya dia mengambil parang di tepi tingkap sebelum menikam rusuk kanan abang.

“Saya menjerit ketakutan dan ketika suami saya memangku abang yang berlumuran darah, Khairuddin sempat berkata ‘sampai hati adik tikam abang, abang tak buat salah apa pun’ tetapi adik terus menjerit mahu mencungkil mata abang dengan mengacukan parang tetapi sempat ditepis oleh bapa mereka,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Katanya, Fairuz juga sempat memberi amaran kepada dia dan suami supaya jangan menghalangnya sebelum duduk di kerusi sambil memegang parang. Fatimah kemudian keluar rumah untuk meminta bantuan jiran menghubungi polis dan ambulans.

Fatimah berkata, Fairuz tidak melawan atau bertindak agresif, sebaliknya hanya menyerah diri kepada polis yang tiba kira-kira 10 minit kemudian.

Katanya, dia tidak tahu kenapa adik sanggup menikam abangnya tetapi mengakui Fairuz menghadapi masalah kesihatan dan sering bergaduh dengan abangnya walaupun mangsa tidak pernah membalas kerana tahu adiknya kurang sihat.

Beliau berkata, kedua-dua beradik itu juga rapat dan setiap hari mereka berulang alik bersama dengan menaiki motosikal untuk ke tempat kerja di sebuah kilang di Serom 7.

Sementara itu Ketua Polis Daerah, Superintendan Harun Idris, berkata pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut kes itu termasuk motif pergaduhan dan kemungkinan suspek menghadapi masalah kesihatan.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga didenda atau sebat, jika sabit kesalahan.

SUMBER: METRO AHAD, 09 MEI 2010

Tiada ulasan: