LEDANG 8 Mei - Macam-macam kejadian pelik kini boleh berlaku. Di Parit Jarum Laut, Bukit Gambir dekat sini semalam, seorang lelaki parah dipercayai selepas ditikam dengan parang di bahagian rusuk kanan oleh adik bongsunya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam, Mohd. Khairuddin Mustafa, 27, parah dipercayai akibat ditikam oleh adik bongsunya yang berusia 25 tahun dengan menggunakan parang sepanjang 25 sentimeter.
Ibunya, Fatimah Mat Said, 47, (gambar) ketika ditemui berkata, kejadian berlaku ketika dia baru selesai solat isyak apabila anak keduanya itu yang dipanggil 'abang' pulang ke rumah selepas keluar ke Pekan Bukit Gambir.
Kata Fatimah, suami dan anak bongsunya pula yang dipanggil sebagai 'adik' berada di ruang tamu menonton televisyen.
"Sebaik sahaja abang masuk ke rumah, dia meminta sebatang rokok daripada adik dan berjanji untuk menggantikannya semula. Adik terus bangun dari kerusi dan saya menyangka dia mahu mengambil rokok.
"Sebaliknya dia terus mengambil parang di tepi tingkap sebelum menikam rusuk kanan abangnya," katanya ketika ditemui di rumah mereka hari ini.
Menurutnya, dia tidak menyangka kejadian itu boleh berlaku kerana dua beradik itu sangat rapat dan setiap hari mereka berulang alik bersama dengan menaiki motosikal untuk ke tempat kerja di sebuah kilang di Serom 7.
Mangsa kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pakar Sultanah Fatimah, di sini dan keadaannya dilaporkan stabil.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Supritendan Harun Idris berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut kes itu termasuk motif pergaduhan dan kemungkinan suspek kes itu menghadapi masalah kesihatan.
"Suspek berjaya ditahan di tempat kejadian dan siasatan awal mendapati, ia membabitkan pergaduhan dua beradik tetapi kita masih menjalankan siasatan lanjut," katanya.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 9 MEI 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan