PENGUNJUNG SETIA

15 Mei 2010

EMPAT TERMASUK CUCU ROMPAK NENEK

TANGKAK 14 Mei - Harapkan pagar, pagar makan padi. Demikian perbuatan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang tergamak merompak neneknya sendiri di Kampung Jawa, Panchor sehingga menyebabkannya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Pelajar tingkatan dua itu didakwa atas tuduhan merompak bersama tiga individu lain termasuk emak angkatnya, Noorzalilah Abd. Gapar, 39, dari Johor Bahru.

Dua lagi tertuduh ialah kenalan lelaki mereka yang bekerja sebagai pemotong rumput, R. Nagarajan, 21, dari Negeri Sembilan dan Mohamad Faizal Mohd Idrus, 20, dari Pagoh, dekat sini.

Mereka didakwa melarikan wang tunai RM3,860 dan barang kemas bernilai RM4,250 milik Rosliah Abu Bakar, 75, di rumah Lot 565, Jalan Bani Selamat, Kampung Jawa, Panchor, dekat sini kira-kira pukul 11 pagi, 30 April lalu.

Keempat-empat tertuduh itu didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Majistret Salina Omar menetapkan 24 Mei ini sebutan semula kes berkenaan.

Tiada pengakuan direkodkan atau ikat jamin diberikan oleh majistret tersebut ke atas setiap tertuduh berikutan ketiadaan hakim di mahkamah berkenaan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zairani Tugiran manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Dalam kejadian tersebut, Rosliah yang sedang bersama cucunya di rumahnya itu telah didatangi tiga tertuduh lain yang kemudian bertindak mengikat dan merompaknya.

Kesemua tertuduh itu kemudiannya melarikan diri bagaimanapun dua lelaki terbabit berjaya ditahan polis di di Bukit Pasir, Muar kira-kira pukul 3 pagi, 1 Mei lalu.

Remaja itu pula ditahan bersama ibu angkatnya di rumah wanita berkenaan di Larkin, Johor kira-kira pukul 9.45 malam hari yang sama.

Berdasarkan siasatan awal polis, remaja itu bersubahat dengan tiga tertuduh lain untuk merompak neneknya sendiri dengan alasan neneknya enggan memberikannya wang tunai.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 15 MEI 2010

Tiada ulasan: