|
LEDANG 26 Sept. – Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman menggesa golongan mahasiswa agar membantu menanam semangat kesedaran dan minat di kalangan anak-anak tempatan untuk berjaya dalam pelajaran masing-masing sehingga ke peringkat universiti.
Beliau berkata, dengan berbuat demikian ia mengeratkan hubungan dengan masyarakat setempat supaya mereka turut menyimpan harapan untuk berjaya dalam bidang ilmu.
“Saya berharap para penuntut UKM dapat berkongsi cerita dengan keluarga angkat masing-masing dan mendorong adik-adik angkat berjaya dalam pelajaran,” katanya.
Beliau menyatakan demikian semasa berucap merasmikan Program Khidmat Komuniti Ledang di Tanjung Agas kelmarin.
Seramai 130 mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkampung selama tiga hari di kampung terbabit.
Hadir sama Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) UKM, Prof. Datuk Dr. Mohamad Abdul Razak.
Program khidmat komuniti anjuran Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu dan Kolej Tun Hussein Onn UKM itu turut mendapat kerjasama Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Tanjung Agas.
Antara pengisian program itu adalah aktiviti gotong-royong, ceramah dan persembahan kebudayaan.
Menteri Besar juga yakin program komuniti tersebut dapat membolehkan golongan mahasiswa mengamati dan meneliti kehidupan masyarakat kampung dan memberi manfaat kepada mereka pada masa depan.
Sementara itu Mohamad berkata, UKM sentiasa komited untuk menabur bakti kepada masyarakat dan program seumpama itu akan dianjurkan dari semasa ke semasa.
“Golongan mahasiswa akan menjadi pemimpin pada masa depan dan kami mahu pastikan mereka memahami aspirasi masyarakat,” katanya.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 27 SEPTEMBER 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan