PENGUNJUNG SETIA

18 September 2010

PUSAT HEMODIALISIS TANGKAK DAPAT RM500,000

LEDANG 17 Sept. - Pusat Hemodialisis Lions Club Tangkak akan menerima peruntukan RM500,000 bagi membantu memberi rawatan kepada pesakit buah pinggang di kawasan ini.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, peruntukan tersebut akan disalurkan secara berperingkat-peringkat dengan RM250,000 pada tahun ini dan bakinya pada tahun depan.

"Saya mengumumkan peruntukan ini kerana menghargai sumbangan khidmat masyarakat seperti Lions Clubs yang membantu golongan memerlukan.

"Saya yakin penggunaan alat hemodialisis ini dapat memberi banyak manfaat dan pesakit buah pinggang tidak perlu lagi keluar dari Tangkak untuk mendapatkan rawatan," katanya semasa merasmikan Bangunan Pusat Hemodialisis Lions Club Tangkak di Taman Ikhtiari, Tangkak di sini, baru-baru ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri; Pegawai Daerah Ledang, Amran Abdul Rahman; Gabenor Daerah Lions Club Malaysia, Datuk Yeow Wah Chin dan Pengerusi Pusat Hemodialisis berkenaan, Tee Tian Ta.

Dengan menempatkan tujuh mesin hemodialisis, pusat berkenaan hanya mengenakan bayaran RM25 untuk setiap sesi rawatan kepada pesakit buah pinggang yang mendapatkan rawatan di situ.

Abdul Ghani berharap peruntukan yang disalurkan itu dapat meringankan beban kos operasi pusat hemodialisis tersebut yang menelan belanja kira-kira RM40,000 sebulan untuk membayar gaji kakitangan perubatan, bil elektrik serta bekalan ubat-ubatan.

"Di peringkat kerajaan negeri, peruntukan kira-kira RM1 juta dikeluarkan setiap tahun untuk memberi rawatan hemodialisis kepada kakitangan serta ahli keluarga mereka yang menghidap penyakit buah pinggang," katanya.

Menteri Besar juga berharap lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melibatkan diri dalam kempen pencegahan penyakit melalui pembudayaan gaya hidup sihat.

"Penyakit buah pinggang ini memerlukan banyak kos dan ia memberi bebanan kewangan kepada ahli keluarga mereka," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 18 SEPTEMBER 2010

Tiada ulasan: