Program anjuran Jabatan Pelajaran Johor selama empat hari di Pusat Kokurikulum Johor Cawangan Ledang dekat Tangkak, baru-baru ini turut disertai 95 murid sekolah seluruh Johor.
Perkhemahan itu bermatlamat memberi pendedahan kepada murid mengenai sejarah serta kepentingan menjaga dan menghayati alam semula jadi selain menjalin hubungan dan berinteraksi dengan murid luar negara yang menyertainya.
Murid dari Bengkalis, Riau, Ryan Ferdy Maulana Yahya Gulika, 9, menyifatkan perkhemahan itu sangat menarik kerana ia memberikan pengalaman berguna apabila dapat bergaul dan berinteraksi dengan murid di negara ini.
Katanya, program penghayatan malam yang disertainya memberi kesan mendalam kerana ia sangat menakutkan apabila berjalan dalam suasana gelap dan mendengar pelbagai bunyi menyeramkan.
"Program ini bagus, sekiranya diberi peluang saya ingin datang lagi menyertai perkhemahan seperti ini kerana dapat bertemu dengan rakan baru di Malaysia," katanya.
Rara Aleva Vabian, 11, pula berasa seronok diberi peluang menyertai perkhemahan itu yang banyak memberi pengalaman melalui pelbagai aktiviti disediakan.
Murid dari Tembilahan Indragiri Hilir, Riau, itu berkata, di tempatnya tiada perkhemahan atau program sedemikian dan peluang menyertainya menjadi pengalaman yang cukup berharga.
Murid Tahun 6 Sekolah Kebangsaan Parit Kasan, Muhammad Ammar Ali, berkata program perkhemahan itu sangat menyeronokkan apabila dia dapat menambah rakan baru dari Indonesia di samping dapat mempelajari budaya mereka.
Sepanjang perkhemahan itu, katanya, peserta menyertai pelbagai aktiviti seperti ikhtiar hidup, kawad kaki, kembara berbasikal, debat, penghayatan malam dan persembahan malam kebudayaan.
"Selain memupuk rasa cinta dan menghargai alam semula jadi, peserta perkhemahan dapat menyemai dan mengamalkan sikap kerjasama serta permuafakatan dalam suasana perpaduan yang terjalin erat antara kaum," katanya.
Guru pengiring murid Indonesia, Zulkifal berkata, program perkhemahan alam semulajadi itu sesuatu yang menyeronokkan dan ia sumbangan besar kepada dunia pendidikan dua negara.
Katanya, beliau akan mengaplikasikan pengalaman yang diperoleh sepanjang program perkhemahan itu untuk dilaksanakan kepada murid di negaranya dan berharap kerjasama itu berterusan pada masa akan datang.
SUMBER: HARIAN METRO, 19 NOVEMBER 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan