PENGUNJUNG SETIA

03 November 2010

RAKYAT JOHOR DISARAN HARGAI CARA HIDUP HARMONI


LEDANG: Rakyat di negeri ini perlu berwaspada dan tidak terpengaruh dengan cubaan segelintir pihak yang ingin berkuasa dengan cara memecahbelahkan perpaduan sedia terjalin.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, rakyat perlu memelihara dan memperkukuhkan perpaduan di samping meneruskan suasana hidup aman yang dipupuk sejak 53 tahun lalu.

"Usaha pihak tertentu untuk memecahbelahkan perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum di negeri ini semata-mata bagi mencapai apa yang diimpikan tidak akan berjaya sekiranya masyarakat bersatu padu.

"Kita perlu pelihara perpaduan dan jangan terpengaruh dengan pihak yang hendak mengubah negeri ini dengan cara memecahbelahkan masyarakat serta suasana muhibah sedia terjalin," katanya di sini, baru-baru ini.

Beliau ditemui pada majlis Penyampaian Bungkusan Kepada Keluarga Miskin Sempena Perayaan Deepavali Peringkat Daerah Ledang, di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Tangkak.

Turut hadir Pengerusi Jawatan kuasa Perpaduan, Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi Johor, M Asojan; Ketua Perhubungan MIC Johor, Datuk K S Balakrishnan; Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri dan Pegawai Daerah Ledang, Amran Abdul Rahman.

Menurut Abdul Ghani, perpaduan erat di negeri ini membolehkan semua lapisan masyarakat dapat bersama meraikan perayaan pelbagai kaum yang disambut sepanjang tahun.

"Rakyat Johor seharusnya menghargai cara hidup harmoni yang diamalkan membabitkan pelbagai kaum dan kerana itulah, kita dapat merayakan pelbagai perayaan seperti Deepavali dengan lebih ceria.

"Saya berharap perayaan Deepavali dapat dijadikan landasan untuk menerapkan semangat hormat menghormati di semua peringkat lapisan masyarakat tanpa mengira kaum," katanya.

SUMBER: HARIAN METRO, 3 NOVEMBER 2010

Tiada ulasan: