PENGUNJUNG SETIA

24 November 2010

SESAK NAFAS SEBELUM REBAH

Oleh Ibrahim Isa dan Sharifah Zulaikha Syed Amali

LEDANG: “Saya sedang menoreh getah ketika menerima panggilan mengatakan anak yang hendak menduduki peperiksaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) tenat.

“Saya kemudian bergegas ke sekolah tapi Hazizul disahkan sudah meninggal dunia kerana diserang sakit jantung,” kata Hasah Eunos, 56, bapa calon SPM yang mati ketika sedang mendengar taklimat peperiksaan itu di sekolahnya, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.45 pagi di Sekolah Menengah Kebangsaan Ledang, Tangkak, Hazizul berada dalam kelas bersama rakan untuk mendengar taklimat peperiksaan mata pelajaran Bahasa Malaysia 1, sebelum dia mengadu sesak nafas.

Arwah kemudian dibawa ke bilik rawatan dan petugas perubatan yang tiba kira-kira 10 minit kemudian bagaimanapun mengesahkan pelajar itu sudah meninggal dunia.

Hasah yang ditemui di rumahnya di Kampung Seri Maamor di sini, berkata arwah anaknya mengalami komplikasi jantung sejak dilahirkan dan mereka sering ke Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan.


“Tiada sebarang perubahan ditunjukkan Hazizul ketika menghantarnya ke sekolah kira-kira jam 6.50 pagi.

“Hazizul yang juga anak lelaki tunggal saya dalam keadaan stabil dan ceria serta tidak sabar untuk menduduki peperiksaan, dia hanya batuk biasa saja,” katanya.

Hasah berkata, walaupun kesihatan Hazizul kurang baik, anak ketiga daripada empat beradik itu tetap mahu ke sekolah bagi meneruskan pelajaran.

Katanya, doktor di IJN memaklumkan penyakit jantung Hazizul agak kronik manakala pembedahan pula tidak boleh dilakukan untuk menyembuhkannya tetapi mereka sekeluarga tetap tidak berputus asa dan membawanya ke hospital dari semasa ke semasa.

“Hazizul mampu belajar seperti biasa tapi tak boleh aktif kerana badannya akan bertukar kebiruan.

“Dia juga meminati mata pelajaran lukisan dan tak sabar menunggu untuk menduduki peperiksaan mata pelajaran itu,” katanya.

Katanya, walaupun Hazizul bukan tergolong di kalangan pelajar cemerlang, kesungguhannya untuk belajar menyebabkan mereka sekeluarga tidak mampu menghalangnya walaupun bimbang keadaan kesihatannya yang makin buruk.

“Sebagai bapa, saya bangga dengan kesungguhan ditunjukkan Hazizul dan kerana itu saya tidak pernah ketinggalan menghantar dan menjemputnya pulang dari sekolah,” katanya.

Ibunya, Wagisah Marzuki, 46, pula berkata, anaknya itu sempat menjamah pisang goreng sebelum ke sekolah.

“Hazizul bersarapan seperti biasa dan saya sempat berpesan supaya menjaga diri serta menjawab peperiksaan dengan tenang. Tidak sangka dia meninggalkan kami pada usia muda,” katanya.

Jenazah Hazizul dikebumikan selepas solat Zuhur di Tanah Perkuburan Islam Kampung Seri Maamor, semalam.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Johor, Markom Giran pada sidang media berkata, kejadian berlaku kira-kira 15 minit sebelum calon mula menduduki peperiksaan.

“Hazizul tiba-tiba mengadu sesak nafas sebelum rebah. Dia kemudian dibawa ke bilik rawatan manakala guru menghubungi pusat perubatan.

“Bagaimanapun, pemeriksaan oleh petugas perubatan mendapati Hazizul sudah meninggal dunia. Kami mengucapkan takziah di atas pemergian arwah dan berharap keluarganya bersabar,” katanya.

Sementara itu, di Kluang, Bernama melaporkan seorang lagi calon SPM meninggal dunia pada jam 4 petang kelmarin akibat penyakit buah pinggang.

SUMBER: HARIAN METRO, 24 NOVEMBER 2010

Tiada ulasan: