PENGUNJUNG SETIA

01 November 2010

JOHOR BAHRU BELASAH LEDANG 6-2

JOHOR BAHRU – Pasukan Johor Bahru membelasah Ledang 6-2 dalam perlawanan Liga Johor di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunus, kelmarin selepas mendahului 3-1 pada separuh masa pertama.

Pesta gol Johor Bahru bermula dengan jaringan sulung Nizam Meon pada minit ke-17, namun Muhd. Shahrizan Shukur menyamakan kedudukan 1-1 buat Ledang, seminit kemudian. Faizal Ahmad kembali meletakkan Johor Bahru di depan menerusi dua jaringan pada minit ke-25 dan 35.

Pada babak kedua, semangat pasukan Ledang seakan-akan 'pulih' apabila berjaya merapatkan jurang 2-3 hasil jaringan Shahrizan pada minit ke-49.

Bagaimanapun empat minit kemudian, jaringan Wan Norzaidi menambah derita Ledang bagi membolehkan Johor Bahru mendahului dengan gol keempat. Mohamad Fitri dan Zaini Kamar turut mencatat nama sebagai penjaring pada minit ke-59 dan 73.

Dengan kemenangan tersebut, Johor Bahru kekal di kedudukan kedua liga dengan 10 mata, dua mata ketinggalan di belakang pendahulu liga, Kota Tinggi.

Ledang pula tercicir ke tangga keenam liga, berbanding ketiga sebelum ini.

Sementara itu, perlawanan melibatkan pendahulu, Kota Tinggi dengan Muar terpaksa dibatalkan akibat cuaca buruk di Stadium Sultan Ibrahim, Muar semalam. Saingan akan diadakan semula pada 14 November ini.

Dalam satu lagi perlawanan, pasukan Kluang membenam Segamat 3-0 di gelanggang lawan. Gol pelawat dijaringkan M. Saranesvaren pada minit ke-45, Kartik Vellasamy (minit ke-46) dan Mohamad Reduan (minit ke-61). Mersing turut menang 3-0 di Stadium Mini Mersing, manakala Kulai Jaya dan Batu Pahat mencatat keputusan seri 1-1 di Padang IOI, Kulaijaya.

Semua perlawanan yang dijadualkan pada 6 November ditunda kepada 7 November bagi menghormati sambutan Hari Deepavali, manakala perlawanan yang berlangsung pada 13 November dipinda ke 4 Disember bagi membolehkan program pemilihan pemain skuad Johor untuk Liga Malaysia diadakan.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 1 NOVEMBER 2010

Tiada ulasan: