PENGUNJUNG SETIA

30 Jun 2011

ISTERI, ANAK LARI DARI RUMAH LEBIH TIGA BULAN


LEDANG: Seorang bapa kehilangan seorang anak dan isterinya selepas dua beranak terbabit menghilangkan diri dari kediaman mereka di Jalan Naib Long, Tangkak pada 18 Mac lalu.

Ismail Lamat, 46, berkata, isterinya, Siti Zoyah Ibrahim, 39, dan anaknya, Nur Amanah, 20, dikatakan melarikan diri menaiki bas ke Johor Bahru kerana mengikut seorang lelaki yang juga anak saudara isterinya.

"Saya mengetahui perkara itu selepas dimaklumkan seorang saudara yang bekerja di Hentian Bas Tangkak apabila ternampak isteri dan anak bersama lelaki terbabit membeli tiket bas ke destinasi berkenaan pada hari kejadian.

"Anak saudara isteri saya menumpang di rumah kami sejak dua tahun lalu tetapi dia tidak bekerja.

"Berikutan itu, saya kerap menasihatnya mencari kerja tetapi isteri berang apabila saya menegur sikap anak saudaranya itu," katanya.

Menurut Ismail, dia terputus hubungan dengan isteri dan anak ketiganya itu sejak mereka menghilangkan diri, malah cubaan menghubungi kedua-duanya gagal.

Ismail berkata, dia berhenti kerja sebagai buruh binaan semata-mata mahu menumpukan usaha mengesan dua beranak berkenaan.

"Saya berusaha menjejak mereka selama seminggu sebelum membuat laporan di Balai Polis Ledang.

"Saya meneruskan pencarian di sekitar negeri ini, Seremban dan Melaka, namun tidak berhasil," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan Zoyah dan Amanah diminta menghubungi talian 012-646 1807 (Suraya), 017-675 2908 (Maziani) atau balai polis berhampiran.

SUMBER: HARIAN METRO, 30 JUN 2011

Tiada ulasan: