Oleh Mohd Harzrul Aminuddin dan Sharifah Zulaikha Syed Amali
am@hmetro.com.my
LEDANG: “Kami panik berdepan situasi mencemaskan itu, saya bagaikan tidak berdaya dan hanya mampu melihat kumpulan pelatih bertindak liar dengan menterbalikkan kereta serta menggunakan petrol yang tumpah untuk membakar bangunan.
“Mereka (pelatih) mula bertindak liar dan sukar dikawal, kami tidak mampu berbuat apa-apa selain lari menyelamatkan diri,” kata seorang kakitangan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Muar, Sengkang di Bukit Gambir di sini, menceritakan detik mendebarkan dalam kejadian jam 9 malam kelmarin.
Kakitangan berusia 30 tahun yang enggan namanya disiarkan berkata, ketika kejadian dia bersama dua rakan sekerja sedang mengawal kumpulan pelatih lain.
Sejurus sebelum kejadian, katanya, seorang pelatih tiba-tiba menghampiri mereka dan memaklumkan dua kumpulan pelatih baru mahu merusuh selepas makan malam.
“Belum sempat kami mengambil tindakan, sekumpulan 21 pelatih mula membaling batu bata, memecah cermin kereta serta membakar beberapa bangunan.
“Manakala pelatih yang tidak terbabit pula melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran sebelum keluar menyerah diri apabila keadaan reda.
“Pada masa sama, kumpulan perusuh yang mendapati keadaan di luar kawalan mengambil kesempatan melarikan diri,” katanya yang bersembunyi di padang Puspen bersama beberapa rakannya.
Dalam kejadian itu, seramai 21 daripada 377 penghuni Puspen berkenaan merusuh sebelum melarikan diri dengan membakar lima bangunan membabitkan pejabat pentadbiran, rumah tetamu, unit pemulihan, bangunan stor dan pondok pengawal.
Selain itu, mereka merosakkan lapan kenderaan masing-masing empat milik Puspen serta empat milik kakitangan dan sehingga tengah hari semalam, 16 pelatih ditemui semula di kawasan berhampiran manakala lima lagi masih dikesan.
Menurutnya, sejam selepas rusuhan itu keadaan kembali reda dan mereka menghubungi pihak berkuasa termasuk polis dan bomba bagi mengawal keadaan dan kebakaran. Katanya, ini adalah kejadian rusuhan kedua selepas 2001 namun jumlah kemusnahan kali ini agak kecil berbanding rusuhan sebelum ini.
SUMBER: HARIAN METRO, 11 JUN 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan