PENGUNJUNG SETIA

12 September 2011

DATARAN LEDANG MERIAH

LEDANG – Hampir 4,000 orang membanjiri Dataran Ledang bagi memeriahkan dan menyemarakkan Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-54 Peringkat Daerah Ledang, semalam.

Meskipun hari memperingati sejarah itu disambut dalam suasana Aidilfitri, tetapi ia diraikan secara besar-besaran dengan perarakan warna-warni, festival kebudayaan dan pertunjukan pentas serta persembahan artis popular.

Kempen kemerdekaan tersebut dilakukan selama sebulan dengan dihiasi kibaran Jalur Gemilang di setiap rumah juga premis perniagaan.

Pertembungan sambutan Hari Raya dan Hari Kemerdekaan buat pertama kali bukan sahaja memeriahkan suasana sambutan Hari Raya, malah turut memantapkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat.

Sebanyak 122 pasukan melibatkan 3,212 peserta menyertai perarakan perbarisan dan perhimpunan kemerdekaan pada kali ini.

Bagaimanapun sambutan pada kali ini melakar sejarah apabila perbarisan tersebut turut disertai Pasukan Rakyat Didahulukan seramai 1,760 peserta yang julung kali ditubuhkan melibatkan peserta dari 71 kampung tradisional, 14 kampung baru dan tiga kampung asli.

Pada sebelah malamnya, diadakan Festival Kebudayaan Sempena Hari Kemerdekaan Ke-54 dan Sambutan Pengisytiharan Daerah Ledang yang turut diserikan persembahan artis popular Abon dan Ali Mamak.

Acara berkenaan dirasmikan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman serta dihadiri Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri; Adun Tangkak, Goh Tee Tee; Adun Bukit Serampang, Tahir Taat dan Pegawai Daerah Ledang, Han Ramin.

Sambutan menjadi lebih bermakna dengan persembahan Pengisahan Kenegaraan mengenai sejarah kemerdekaan negara juga mengimbau peranan lima bekas perdana menteri bagi menterjemahkan semangat patriotik kepada tanah air.

Dalam ucapannya, Abdul Ghani berkata, hasil daripada kemerdekaan negara telah melahirkan ramai pemimpin yang berkaliber dan pejuang yang kental lagi bijak.

“Ini terbukti apabila dalam tempoh lima dekad, negara sudah mencapai kemajuan dan rakyat boleh menjadi saksi untuk mengukur kemakmuran ekonomi negara pada hari ini.

“Keperluan rakyat menjadi keutamaan dan rakyat yang berbilang kaum akan menjadi sumber kekuatan kepada negara untuk mencapai kemajuan dengan lebih pesat sejajar dengan tema ulang tahun kemerdekaan iaitu Transformasi Berjaya, Rakyat Sejahtera,” katanya.

Katanya, apa yang diharapkan semoga negara ini terus mencapai kejayaan yang cemerlang dan rakyatnya dapat hidup dalam suasana yang tenang dan damai.

“Hargai apa yang dinikmati hari ini kerana sejak akhir-akhir ini, pelbagai bentuk ancaman untuk mengikis kepercayaan rakyat dan merubah fakta sejarah demi kepentingan politik serta untuk mencapai impian mereka biarpun kita semakin lama semakin berpecah,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN, 12 SEPTEMBER 2011

Tiada ulasan: