PENGUNJUNG SETIA

03 September 2011

TERUJA SAMBUT AIDILFITRI

LEDANG – “Sangat :teruja beraya di Malaysia.”

Demikian pengakuan Roset Mohayatin, 19, salah seorang daripada lima pelajar Kemboja yang pertama kalinya menyambut Aidilfitri di perantauan.

Kelima-lima pelajar Kemboja tersebut kini sedang mengikuti pengajian selama enam bulan di Kolej Komuniti Giat Mara Ledang menerusi Program Latihan Kemahiran Pelatih Kemboja di bawah biayaan Yayasan Pelajaran Mara.

Roset berkata, dia berasa gembira sebaik sahaja ditawarkan menjalani kursus Teknologi Sistem Komputer di Kolej Komuniti Giat Mara Ledang di sini.

Menurutnya, peluang belajar di sini membolehkannya menimba banyak pengalaman baru lebih-lebih lagi menyambut Aidilfitri di negara ini.

“Tahun ini juga adalah pertama kali saya menyambut Hari Raya Aidilfitri berjauhan dengan keluarga.

“Sangat teruja tetapi jauh di lubuk hati tetap sedih kerana lazimnya pada pagi raya akan mencium tangan ibu bapa dan dikelilingi ahli keluarga yang ramai,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, perasaan sedih itu sedikit terubat kerana mempunyai saudara yang tinggal di Malaysia.

“Selepas menyambut hari raya pertama bersama keluarga angkat iaitu daripada kalangan pensyarah di kolej ini saya akan menyambut Aidilfitri bersama saudara mara pula.

“Sekurang-kurangnya dapat juga mengubat kerinduan untuk menikmati makanan tradisi Aidilfitri Kemboja di rumah saudara,” katanya.

Walaupun sedikit janggal kerana menyambut Aidilfitri tanpa keluarga tetapi Roset dapat menikmati makanan tradisi Aidilfitri rakyat Malaysia di sini.

“Saya dengar daripada saudara mara di sini bahawa Malaysia mempunyai kepelbagaian makanan yang unik pada hari raya.

“Mereka bergotong royong menganyam ketupat, memasak dodol dan membakar lemang,” katanya.

Katanya, ini adalah saat-saat yang dtunggu kerana ingin merasai keseronokan melakukan kerja-kerja tersebut.

“Jika boleh saya ingin mempelajari menganyam ketupat dan membuat lemang serta bercadang untuk membawa pulang ilmu ini ke negara asal.

“Juadah ini boleh diperkenalkan kepada keluarga dan saudara mara di Kemboja pada sambutan Aidilfitri akan datang,” katanya.

Meskipun baru sebulan berada di Malaysia, tetapi Roset semakin fasih berbahasa Melayu.

“Saya sangat suka belajar bahasa Melayu dan berazam untuk menguasai bahasa ini sebelum menamatkan kursus di sini.

“Selain negara yang cantik, aman dan harmoni, rakyat di Malaysia sangat baik serta berbudi bahasa terhadap rakyat luar,” katanya.

Namun, dia masih belum mempunyai keputusan sama ada ingin menetap terus di Malaysia ataupun pulang ke Kemboja selepas menamatkan kursus di sini.

Dalam pada itu, bagi meraikan lima pelajar Kemboja yang menyambut Aidilfitri di Malaysia, pihak Kolej Komuniti Giat Mara Ledang menyampaikan sumbangan Hari Raya dengan kerjasama daripada Ketua Pemuda Umno Ledang, Zaidi Majid.

SUMBER: SINAR HARIAN, 03 SEPTEMBER 2011

Tiada ulasan: