PENGUNJUNG SETIA

12 September 2011

JANGAN LUPA JASA PEJUANG

LEDANG – Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman menggesa rakyat agar tiada melupakan jasa pejuang yang telah berkorban untuk mendapatkan kemerdekaan negara.

Menurutnya, hasil kegigihan pejuang negara itu membolehkan rakyat pada hari ini menikmati kehidupan dengan lebih bermakna selepas lebih lima dekad mencapai kemerdekaan.

“Jasa mereka bukan setakat berjuang untuk menuntut kemerdekaan tetapi juga untuk memastikan keamanan negara kekal terjamin.

“Bersempena sambutan kemerdekaan negara yang ke-54 ini, marilah kita berdoa semoga Allah memberi rahmat ke atas pejuang kemerdekaan negara yang telah meninggal dunia,” katanya ketika berucap sempena Sambutan Hari Kemerdekaan ke-54 Peringkat Daerah Ledang Tahun 2011 di Dataran Ledang, semalam.

Beliau berkata, dalam sejarah perjuangan negara, ia sarat dengan pelbagai warna, penat lelah, suka duka, pahit getir dan pengorbanan yang tidak terhad hanya kepada pejuang itu sendiri, malah keluarga isteri serta anak-anak mereka.

“Walaupun sering dikatakan kemerdekaan dicapai tanpa melibatkan pertumpahan darah namun, liku-liku ke arah perjuangan kebebasan dan seterusnya mempertahankan kemerdekaan itu menuntut banyak pengorbanan.

“Dalam sejarah negara, sejak kerajaan Melayu jatuh ke tangan Portugis 500 tahun lalu, muncul silih berganti pejuang kemerdekaan negara,” katanya.

Abdul Ghani berkata, ada yang menggunakan tenaga empat kerat untuk mengangkat senjata, menggunakan ketajaman mata pena serta yang menggunakan kebijaksanaan melalui perundingan dengan pihak penjajah.

“Ramai pejuang yang terkorban semasa Jepun menyerang Tanah Melayu, ketika darurat dan ancaman bersenjata komunis serta konfrontasi antara Malaysia dan Indonesia.

“Pada masa yang sama muncul gerakan perjuangan menentang Malayan Union yang akhirnya memaksa penjajah akur untuk memberikan kemerdekaan kepada negara,” katanya.

Hadir sama, Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tangkak, Goh Tee Tee; Adun Bukit Serampang, Tahir Taat dan Pegawai Daerah Ledang, Han Ramin.

Selain itu, Abdul Ghani berkata, kemajuan yang dikecapi negara begitu menakjubkan kerana dalam tempoh sesingkat 54 tahun itu, Malaysia bukan sahaja makmur dan sejahtera malah rakyat mampu mencipta pelbagai kejayaan hingga mampu menempa nama ke peringkat antarabangsa.

"Namun, kita tidak boleh berasa selesa dengan keadaan sekarang bagaimana ia bermula dan setelah sekian lama kita mengisi erti kemerdekaan, jangan sesiapa melupakan perjuangan wira negara.

“Negara ini telah melahirkan ramai pemimpin yang berkaliber, pejuang yang kental lagi bijak. Ini terbukti apabila dalam tempoh lima dekad negara sudah mencapai kemajuan dan rakyat boleh menjadi saksi untuk mengukur kemakmuran ekonomi negara pada hari ini,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN, 12 SEPTEMBER 2011

Tiada ulasan: