PENGUNJUNG SETIA

06 September 2011

JUITA SUMBANG BUKU

LEDANG - Badan Amal Tenaga Isteri Wakil-Wakil Rakyat Johor (Juita) terus proaktif apabila memberi sumbangan berupa buku bernilai RM1,000 di wad kanak-kanak Hospital Tangkak, pada Ramadan lalu.

Sumbangan tersebut disampaikan sempena lawatan Juita di wad-wad hospital berkenaan bagi memenuhi hasrat Yang Dipertuanya, Datin Paduka Profesor Dr Jamilah Ariffin.

Bagaimanapun sumbangan tersebut disampaikan oleh wakil rasmi Dr Jamilah iaitu isteri kepada Ahli Parlimen ledang, Asiah Mohd Noor kepada Ketua Jururawat, Rafeai Dolah.

Asiah berkata, pemberian buku menerusi Projek Juitaku Sayang bertujuan mewujudkan sudut bacaan dan pusat sumber di wad kanak-kanak di Hospital Tangkak.

Menurutnya, rasionalnya projek itu dapat membantu kanak-kanak yang terpaksa menerima rawatan dalam tempoh jangka panjang di hospital dapat mengisi masa lapang dengan perkara yang berfaedah.

“Kami tidak mahu kanak-kanak ketinggalan dalam alam pendidikan mereka sepanjang mendapatkan rawatan di hospital.

“Ini juga menjadi platform awal mendidik serta menggalakkan kanak-kanak mempunyai minat membaca buku,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, pendekatan tersebut juga bagi menyahut seruan kerajaan untuk memperkasakan budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Kami menyedari tahap membaca dalam kalangan rakyat Malaysia masih rendah jika dibandingkan dengan negara maju.

“Melalui cara ini dapat memupuk minat membaca kalangan rakyat daripada peringkat akar umbi,” katanya.

Pada masa yang sama juga untuk mencapai hasrat kerajaan bagi melahirkan lebih ramai rakyat muda yang berpendidikan tinggi dan memiliki minda kelas pertama.

Asiah berkata, projek tersebut juga menunjukkan komitmen Juita dan keprihatinan isteri Wakil-Wakil Rakyat Johor yang sentiasa peka dengan keperluan rakyat.

Selain itu, Asiah turut menyampaikan cenderahati kepada penghuni wad kanak-kanak.

SUMBER: SINAR HARIAN, 6 SEPTEMBER 2011

Tiada ulasan: