PENGUNJUNG SETIA

25 Oktober 2011

BERKONGSI TRAGEDI MEMILUKAN

LEDANG – Jika setahun tahun yang lalu, Selvam Panchanathan, 43, dianggap sebagai tulang belakang kepada keluarganya, namun kini tidak lagi selepas penyakit strok yang menyerangnya jelas sudah meragut kebahagiaan diri juga keluarganya.

Sejak tragedi selepas pulang dari tempat kerja itu, Selvam juga terpaksa melepaskan pekerjaannya sebagai buruh kuari yang digalasnya sejak 15 tahun lalu di sebuah kuari di Jalan Bekoh, Tangkak di sini.

Mengimbau kembali peristiwa setahun lalu, sebaik sahaja pulang dari tempat kerja pada petang kejadian, dia terlelap seketika di sofa rumahnya kerana keletihan bekerja.

“Sebaik sedar daripada tidur, saya merasakan anggota badan bahagian kanan kebas dan tidak boleh bergerak.

“Saya menjerit memanggil isteri untuk membantu dan isteri menangis kerana terkejut melihat keadaan saya diserang strok,” katanya yang pasti akan menitiskan air mata kerana berasa sedih mengenangkan nasib keluarganya saat terkenangkan peristiwa itu.

Selvam berkata demikian kepada Sinar Harian pada majlis Penyampaian Sumbangan Deepavali kepada 268 penerima anjuran MIC Bahagian Ledang dan Jasa Ledang di Dewan Jubli Intan, Tangkak.

Kini, dia hanya mampu tinggal di rumah dan bergantung sepenuhnya dengan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan, selain mengharapkan ihsan daripada anak sulungnya bagi membantu meringankan beban keluarga.

Katanya lagi, dia kehilangan pendapatan dan sejak dari itu keluarganya terpaksa hidup dalam keadaan yang serba kekurangan.

Namun, Selvam bernasib baik kerana anak sulungnya yang berusia 20 tahun itu sanggup bertanggungjawab mengambil alih peranan keluarga termasuk melunaskan bayaran bulanan rumah sebanyak RM400 yang dibelinya sejak dua tahun lalu.

“Jika tidak, kemungkinan kami akan kehilangan rumah ini memandangkan sumber kewangan yang tidak mencukupi,” katanya.

Selain itu, Selvam juga bersyukur kerana anak-anaknya turut dapat bantuan persekolahan sebanyak RM 400 daripada JKM pada awal tahun ini

“Bantuan ini secara tidak langsung dapat mengurangkan beban dan menghilangkan kegusaran hati memikirkan persekolahan anak-anak,” katanya.

Demikian nasib Selvam yang kini menetap di Taman Tangkak, Jalan Payamas, Tangkak bersama isteri dan lima anak lain yang masih bersekolah.

Sementara itu, isterinya, Mariama Muniyandi, 40, pula tidak dapat bekerja bagi membantu mengukuhkan ekonomi keluarga kerana perlu menguruskan suaminya di rumah.

Selain bergantung kepada ubat-ubatan hospital, Selvam juga menjalani :rawatan urutan tradisional dan mengharapkan agar penyakitnya segera sembuh.

SUMBER: SINAR HARIAN, 25 OKTOBER 2011

Tiada ulasan: