PENGUNJUNG SETIA

17 Oktober 2011

SIAPA BAKAL MB JOHOR?

SENAI - Teka-teki siapa bakal menjadi Menteri Besar Johor selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), untuk menggantikan tempat Datuk Abdul Ghani Othman kian menjadi topik hangat.

Terbaru, blog bigcatrambleon.blogspot.com menyatakan perihal suasana politik negeri ini di bawah kepimpinan Abdul Ghani yang dicanangkan tempoh perkhidmatannya bakal berakhir selepas PRU13.

Faktor usia Menteri Besar Johor itu yang kian meningkat, iaitu 64 tahun, di samping sudah memegang jawatan itu sejak Mac 1995 antara yang dikupas oleh blogger berkenaan.

Bigcat turut melampirkan kenyataan bekas ahli akademik yang bertegas mahu Abdul Ghani membuka jalan kepada pemimpin muda bagi menerajui Johor kerana beliau dilihat sebagai sudah tidak sesuai untuk meneruskan khidmatnya sebagai Menteri Besar.

Katanya, spekulasi pengunduran Abdul Ghani bukan perkara baru, sebaliknya ia pernah menjadi hangat diperbualkan dalam PRU 2004 dan 2008.

Pada PRU 2004, pernah disebut-sebut Abdul Ghani disenaraikan untuk bertanding bagi kerusi Parlimen Ledang bagi diserapkan ke peringkat persekutuan, malah ia juga dikatakan termasuk dalam perancangan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Abdullah Ahmad Badawi.

Pengganti yang dianggap sesuai di saat itu adalah Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, yang disenaraikan bertanding bagi kerusi Dun Tiram, tetapi berlaku hal sebaliknya apabila Abdul Ghani kembali bertanding bagi kerusi Dun Serom, manakala Mohamed Khaled, untuk kerusi Parlimen Pasir Gudang.

Menurut blogger tersebut, keadaan yang berlaku itu sekali gus menimbulkan fitnah ke atas Abdul Ghani oleh pesaing-pesaing politiknya dan beliau tampil menafikan tohmahan dilemparkan dengan berterus terang mahu menerajui Johor sebagai Menteri Besar.

Pada PRU 2008, Mohamed Khaled sekali lagi dicalonkan sebagai Menteri Besar baru dan orang ramai juga menjangkakan karier Abdul Ghani bakal berakhir, tetapi Abdul Ghani masih tetap bertanding di Dun Serom, sekali gus kekal di jawatan berkenaan.

Bigcat menyimpulkan bahawa Abdul Ghani sememangnya akan bersara daripada karier politik selepas PRU13 dan pada masa sama, beliau akan melakukan yang terbaik untuk membawa kemenangan besar kepada BN Johor sebelum melepaskan jawatannya.

Bigcat turut mengetengahkan empat calon bakal Menteri Besar, iaitu Mohd Khaled, yang kini menjadi Menteri Pengajian Tinggi; Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, yang juga Timbalan Menteri Pertahanan dan Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Exco Johor, Datuk Abdul Aziz Kaprawi.

SUMBER: SINAR HARIAN, 17 OKTOBER 2011

Tiada ulasan: