LEDANG - Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman mengingatkan umat Islam yang berkemampuan agar tidak leka menjalankan kewajipan menunaikan pembayaran zakat pendapatan pada setiap tahun.
Menurutnya, pembayaran zakat akan dapat menegakkan syiar Islam dan membela serta membantu umat Islam itu sendiri.
"Majlis Agama Islam Johor (Maij) mengambil langkah proaktif mengadakan promosi dan dakwah untuk memberi kesedaran kepada umat Islam akan kepentingan membayar zakat pendapatan.
"Hasil usaha itu, zakat di Johor berjaya dikutip sebanyak RM125 juta pada tahun ini dan disasarkan meningkat sebanyak RM10 juta pada tahun depan," katanya pada ucapan merasmikan Majlis Berkhatan Anak Asnaf Peringkat Ledang 2011 anjuran bersama Maij Ledang, UMNO Bahagian Ledang, Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Ledang dan Persatuan Kontraktor Melayu Ledang di Dataran Ledang, semalam.
Beliau berkata, kutipan zakat yang tinggi boleh disebarkan dan dikongsi bersama termasuk mengadakan majlis berkhatan untuk 78 anak asnaf di Ledang.
Abdul Ghani menjelaskan kelebihan berkhatan turut mula disedari golongan bukan Islam dan turut melaksanakan amalan ini.
"Ini kerana, kajian mendapati individu yang menghidap penyakit kelamin seperti sifilis adalah golongan yang tidak berkhatan," katanya.
Dalam pada itu, seramai 78 anak asnaf diraikan pada majlis berkhatan itu dan diarak menaiki 18 kenderaan pacuan empat roda mengelilingi bandar Tangkak sejauh kira-kira 20 kilometer.
Seramai 13 pegawai perubatan akan ditugaskan untuk mengkhatankan kesemua peserta secara percuma.
Peserta, Mohd Hazim Mahadi, 11, dari Parit Dahalan Paya Kepong begitu teruja apabila diarak beramai-ramai menaiki kenderaan pacuan empat roda.
"Apabila diarak beramai-ramai, hilang sedikit rasa takut dan sangat gembira apabila dimaklumkan akan diarak mengelilingi bandar Tangkak.
"Sebelum ini, saya dengar dari rakan yang diarak menaiki kenderaan pacuan empat roda dan hari ini saya merasi sendiri pengalaman ini," katanya.
Hadir sama, Ahli Parlimen Ledang, Ir Hamim Samuri dan Kadi Ledang, Sulaiman Maidin.
SUMBER: SINAR HARIAN, 05 DISEMBER 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan