PENGUNJUNG SETIA

20 Disember 2011

JOHOR TIDAK MUFLIS: MB

Oleh : AZLINA OTHMAN
MB

NUSAJAYA – Kedudukan kewangan Kerajaan Negeri pada akhir tahun 2010 pada tahap baik dengan Kumpulan Wang Disatukan meningkat RM274.42 juta atau 118.6 peratus kepada RM505.1 juta berbanding RM231.39 juta pada akhir tahun 2009 sekali gus menafikan tuduhan liar dan palsu parti pembangkang bahawa Johor akan muflis.

Kerajaan Negeri berjaya mencatatkan surplus dalam Akaun Hasil disatukan sejumlah RM158.36 juta dan dengan itu kedudukan defisit terkumpul pada 31 Disember 2010 berkurangan sebanyak 32.7 peratus kepada RM325.69 juta berbanding RM484.05 juta akhir tahun 2009.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, lebih membanggakan, Penyata Hasil Kerajaan Negeri pada tahun lalu juga meningkat RM272.75 juta atau peningkatan 36.3 peratus berbanding pungutan tahun 2009 yang lalu.

Menurutnya, pada tahun lalu, Penyata Hasil Kerajaan Negeri telah mencecah RM1.02 bilion yang mana suatu perkara yang harus dibanggakan oleh rakyat dan Kerajaan Negeri kerana buat pertama kalinya Penyata Hasil Kerajaan Negeri telah mencecah paras RM1 bilion.

“Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara terhadap Penyata Kewangan Negeri Johor 2010, Kerajaan Negeri telah diberikan Sijil Bersih oleh Ketua Audit Negara dan dengan itu, selama sembilan tahun berturut-turut Kerajaan Negeri berjaya mengekalkan prestasi tersebut.

“Kerajaan Negeri melalui Perbendaharaan Negeri telah diberikan pengiktirafan anugerah tertinggi empat bintang oleh Ketua Audit Negara dalam Pengurusan Kewangan Kerajaan dan anugerah ini membuktikan komitmen Kerajaan Negeri mencapai kecemerlangan dan takbir urus kewangan telus dan berintegriti.

“Secara keseluruhannya, prestasi kewangan Kerajaan bagi tahun 2010 adalah jauh lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya,” katanya semasa menjawab soalan lisan Datuk Abdul Hamid Abdul Rahman (BN-Machap) pada persidangan Dewan Undangan Negeri, di sini, semalam.

Abdul Ghani yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hasil Bumi, Pentadbiran, Kewangan dan perancangan negeri berkata, Kerajaan Negeri masih mampu menampung Perbelanjaan Pengurusan setiap tahun melalui kutipan hasil yang dibuat.

“Di samping itu, Kerajaan Negeri turut melaksanakan program-program pembangunan demi kesejahteraan rakyat dan sejumlah RM1,013.40 juta telah dibelanjakan bagi tempoh lima tahun dan sekiranya tiada perbelanjaan pembangunan dibuat, setiap tahun Kerajaan Negeri mencatatkan surplus dalam Akaun Hasil Disatukan.

“Antara tahun 2006 hingga 2010, Kerajaan Negeri berjaya membina 29 sekolah agama dengan perbelanjaan berjumlah RM49.6 juta dan bersetuju membina 121 sekolah agama lagi bagi menyelesaikan masalah lebih 100,000 murid belajar menumpang.

“Kerajaan Negeri turut membina 2,445 kilometer (km) jalan-jalan kampung, dan menaik taraf serta menyelenggara 2,445 km jalan kampung di seluruh negeri Johor dengan kos keseluruhan berjumlah RM88.39 juta,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN, 20 DISEMBER 2011

Tiada ulasan: