LEDANG – Seorang pemandu bas dan 12 penumpang nyaris maut apabila bas ekspres yang mereka naiki musnah terbakar di Kilometer 144, Lebuhraya Utara Selatan arah selatan berhampiran Pagoh di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.40 malam itu, bas berkenaan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru apabila bahagian dalamnya tiba-tiba mengeluarkan asap.
Pemandu bas terbabit segera memberhentikan bas di bahu jalan dan mengarahkan kesemua penumpang turun untuk menyelamatkan diri.
Kesemua penumpang terselamat dan meneruskan semula perjalanan ke Johor Bahru dengan menaiki bas lain.
Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan 1, Balai Bomba dan Penyelamat Tangkak, Malley Abd Salim berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 7.48 malam dan tiba di lokasi kejadian pada jam 8.12 malam.
Menurutnya, sebuah jentera bersama lima anggota bergegas ke tempat kejadian dan turut dibantu dengan satu jentera bersama enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Muar.
“Bagaimanapun, setibanya di tempat kejadian, bas berkenaan telah musnah terbakar.
“Pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca kejadian dan nilai kerugian,” katanya.
Dalam pada itu, difahamkan kejadian tersebut juga menyebabkan kesesakan lebuh raya hampir 500 meter.
SUMBER: SINAR HARIAN, 12 DISEMBER 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan