PENGUNJUNG SETIA

05 Disember 2011

STATUS HALAL JAMIN KESUCIAN

LEDANG 4 Dis. - Pendedahan awal terhadap kepentingan aspek halal perlu diutamakan supaya masyarakat Islam prihatin terhadap produk yang digunakan.

Pengarah Jabatan Agama Johor (JAJ), Elias Hasran berkata, walaupun kesedaran masyarakat mengenai produk halal semakin meningkat, usaha perlu diteruskan bagi mengelak kesulitan.

Katanya, inisiatif jabatan itu menganjurkan Karnival Kepenggunaan dan Transformasi Halal 2011 diharap meningkatkan kesedaran pengguna dan meluaskan lagi pasaran produk halal.

"Saya percaya orang ramai akan mengambil peluang menerusi karnival ini untuk meneliti kriteria produk halal serta sijil pengesahan halal yang dikeluarkan.

"Sememangnya perkara ini menjadi perhatian ramai dan pihak kerajaan juga memandang serius perkara ini," katanya ketika berucap merasmikan karnival tersebut di Dataran Tanjung Emas di sini, semalam.

Sempena majlis perasmian itu turut diadakan Forum Perdana Halalan Toyyiba; Mencari Yang Halal Satu Kewajipan yang dibarisi ahli panel merangkumi Penasihat Majlis Agama Islam negeri Johor (MAIJ), Datuk Nooh Gadot dan Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Ma'mor Osman.

Menurut Elias, bermula tahun depan, kerajaan akan memperkenalkan e-Halal bagi menyeragamkan pengeluaran sijil halal.

Katanya, e-Halal dihasilkan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) menggunakan standard, prosedur, sijil dan logo sama.

''Pendedahan mengenai kepentingan halal akan memberi impak yang besar kepada masyarakat kerana melaluinya, pengguna akan memilih produk yang benar-benar halal sahaja.

''Sijil halal bukan sahaja merangkumi produk halal menurut syariah tetapi juga menekankan aspek teknikal dan kebersihan dalam pembuatan dan penyediaan produk tersebut," katanya.

Karnival Kepenggunaan dan Transformasi Halal Johor 2011 yang bermula semalam akan berlangsung selama tiga hari.

Sebanyak 48 gerai pameran menyertai karnival yang turut dimeriahkan konsert nasyid, seminar kepenggunaan halal, pameran automotif dan karaoke nasyid.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 05 DISEMBER 2011

Tiada ulasan: