PENGUNJUNG SETIA

23 Mac 2012

BUMBUNG RUMAH TERBANG

NOR ‘ASYIKIN MAT HAYIN
23 Mac 2012
Othman dan Zaleha di hadapan rumah mereka yang rosak teruk dipukul ribut petang kelmarin
LEDANG – “Saya peluk kuat anak bongsu ketika angin ribut mengganas pukul rumah sehingga menyebabkan keseluruhan bumbung tercabut,” demikian luahan mangsa ribut di Kampung Sawah Ring, Jalan Benting dekat sini, petang kelamarin.

Othman Subari, 48, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 petang itu telah merosakkan sebanyak 12 rumah penduduk di kampung berkenaan.

Menurutnya, ketika kejadian dia baru pulang mengambil anak bongsunya, Mohd Shahrul Rizal,11, bermain bola dari sekolah berhampiran.

“Ketika berehat di ruang tamu, saya nampak satu kepulan ‘angin hitam’ berpusing-pusing dari kawasan lapang hadapan rumah menghala ke arah rumah.

“Hujan gerimis yang turun 15 minit lebih awal bertukar menjadi lebat dan diiringi angin kuat sebelum ‘angin hitam’ itu menghentam rumah ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, kejadian berlaku sangat pantas dan dia menjerit memanggil-manggil menantunya Norashikin Kamaruzaman, 21, supaya keluar daripada bilik dan kami tiga beranak duduk di ruang tamu.

“Jika tidak sudah pasti ada perkara buruk sudah menimpa Norashikin kerana tiang bumbung rumah patah dihempap pokok.

“Selepas angin ribut menghentam rumah ini, hujan lebat dan angin kuat serta-merta berhenti,” katanya.

Othman berkata, dia bergegas keluar rumah dan terkejut mendapati beranda rumah sudah tiada, manakala keseluruhan bumbung rumah bertaburan di atas tanah.

Katanya lagi, ini musibah ketiga melanda dia sekeluarga selepas peristiwa ribut dan kawasan rumah ditenggelami air dalam kejadian banjir tahun 2006.

Isterinya, Zaleha Yusak, 48, berkata, dia mengetahui rumahnya dipukul ribut selepas dimaklumkan oleh suami yang datang ke warung tempatnya bekerja.

“Saya terkedu dan hanya mampu menangis sebaik sahaja melihat keadaan rumah yang rosak teruk.

“Penduduk kampung membanjiri kawasan rumah dan memberikan kata-kata semangat sedikit sebanyak dapat mengubati kesedihan hati ini,” katanya.

Walaupun, berasa sedih dengan musibah yang menimpa tetapi Zaleha tetap bersyukur kerana seluruh ahli keluarganya selamat.

Sementara itu, ketua kampung berkenaan, Husin Mohamad ketika ditemui berkata, kesemua mangsa ribut dinasihatkan supaya segera membuat laporan di balai polis berhampiran.

“Mereka akan ditempatkan di balai raya buat sementara waktu sehingga rumah dibaik pulih.

“Bantuan kilat daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah turut diberikan seperti makanan dan keperluan harian,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN, 23 MAC 2012

Tiada ulasan: