Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus
TANGKAK: Empat pencuri lembu termasuk seorang remaja berusia 17 tahun, di sini, dipercayai menggunakan ubat pelali untuk disuntik pada haiwan berkenaan bagi memastikan ia tidak melawan atau membuat bising ketika dilarikan.
Bagaimanapun, akibat terlebih ubat pelali, seekor daripada tiga lembu dicuri kumpulan terbabit pada jam 10 malam di Batu 16, Jalan Muar-Tangkak, 18 Mac lalu, mati sebelum bangkai haiwan itu dibuang ke sungai berhampiran lokasi berkenaan.
Ketua Polis Daerah Muar, Superintendan Harun Idris, berkata kegiatan kumpulan terbabit ditumpaskan apabila mereka ditahan lima jam kemudian.
Menurutnya, pemilik haiwan ternakan itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang berkaitan kecurian lembunya.
"Polis kemudian menubuhkan pasukan khas sebelum mengesan sebuah lori bersama dua ekor lembu itu berhampiran Sagil pada jam 3.30 pagi, keesokannya.
"Polis turut menemui jarum suntikan yang digunakan sebagai pelali terhadap haiwan itu," katanya.
Harun berkata, seekor lagi lembu itu ditemui mati di dalam parit dan dipercayai terlebih suntikan pelali.
"Ketiga-tiga lembu itu bernilai kira-kira RM6,000. Penahanan dua suspek terbabit membawa kepada penahanan dua lagi rakan subahat mereka.
"Remaja yang dari Serom, Tangkak itu tidak bersekolah, manakala tiga suspek berusia 20-an hingga 30-an berasal dari Jementah, Segamat serta Klang, Selangor, tidak bekerja," katanya.
Menurut Harun, penahanan itu berjaya menyelesaikan tiga kes curi lembu di kawasan itu pada 2011.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 379, Kanun Keseksaan," katanya.
SUMBER: HARIAN METRO, 27 MAC 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan