LEDANG: "Setiap kali hujan lebat, saya hanya mampu berdoa supaya bumbung zink tidak tercabut diterbangkan angin. Ini kerana zink itu hanya ditindih menggunakan kayu, manakala dinding dilekatkan menggunakan pita pelekat," kata warga emas, Suminah Ros, 62.
Menurutnya, dia dan suaminya, Masiken Yatim, 65, bimbang keselamatan mereka berikutan struktur rumah mereka di T/L, KSH 16-9, Kampung Sagil Parit 3, Tangkak, tidak stabil sejak beberapa tahun lalu.
Katanya, rumah berusia hampir 50 tahun itu dibina suaminya menggunakan papan dan zink terpakai hasil pemberian orang ramai, namun bahan digunakan itu kini reput.
Selain itu, katanya, hampir keseluruhan struktur dinding rumah dimakan anai-anai dan hanya menunggu masa untuk rebah menyembah bumi.
"Itulah keadaan rumah kami pada hari biasa dan setiap kali hujan lebat, ruang dalam rumah akan penuh dengan deretan besen dan periuk bagi menadah air hujan.
"Kami hanya mampu menadah air hujan kerana tidak mahu rumah digenangi air seperti kolam kerana bumbung reput serta bocor menyebabkan hujan memasuki rumah.
"Sebab itulah, suami terpaksa menindih bumbung yang rosak menggunakan tunggul kayu bagi mengelak ia tercabut apabila ditiup angin kencang," katanya.
Suminah berkata, kehidupan mereka suami isteri dihimpit kemiskinan apabila suaminya tidak mampu bekerja berikutan semput dan darah tinggi sejak tiga tahun lalu.
Keadaan itu, katanya, menyebabkan beliau suami isteri menghadapi masalah kewangan dan tidak mampu membaiki kerosakan rumah.
"Kini, kehidupan kami hanya bergantung bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM 300 sebulan sejak setahun lalu.
"Kami terpaksa berjimat cermat untuk memastikan wang bantuan ini mencukupi bagi menampung perbelanjaan kami selama sebulan," katanya.
Pasangan warga emas itu mempunyai enam orang anak tetapi tidak mahu menyusahkan anak mereka kerana mempunyai keluarga masing-masing.
Sebelum mendapat bantuan bekalan air, Suminah dan suaminya terpaksa mengayuh basikal sejauh dua kilometer semata-mata mengambil air perigi di sebuah bukit berhampiran rumahnya.
Bagaimanapun, mereka kini lega apabila mendapat bantuan bekalan air bersih.
"Baru dua minggu rumah ini mempunyai bekalan air paip, itu pun bantuan kerajaan.
"Bagaimanapun, kami mengharapkan ada pihak yang tampil dan membantu membaiki kerosakan rumah kami kerana bimbangkan keselamatan," katanya.
SUMBER: HARIAN METRO, 23 MAC 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan