PENGUNJUNG SETIA

23 Mac 2012

BUMBUNG RUNTUH KETIKA SAMBUT HARI LAHIR


LEDANG: Hasrat seorang wanita menikmati kek sempena sambutan ulang tahun kelahirannya ke-48 tahun, Selasa lalu, tidak kesampaian apabila ribut dan hujan lebat menyebabkan bumbung serta beranda rumahnya runtuh lalu menghempap kek berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang, Zaleha Yusak, 48, bersedia meraikan sambutan hari lahirnya di rumah di Jalan Benteng, Kampung Sawah Ring, dekat Bukit Gambir, sebelum tiba-tiba ribut kuat menyebabkan bumbung rumahnya runtuh.

Kejadian itu bukan saja merosakkan rumahnya, malah 11 rumah lain di kampung sama apabila bumbung rumah diterbangkan ribut selain dihempap pokok.

Zaleha berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang ke rumah selepas dijemput suaminya, Othman Subari, 48.

"Apabila tiba di hadapan rumah, saya hanya mampu menangis melihat keadaan rumah, namun bersyukur tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

"Ini kali kedua rumah saya rosak dipukul ribut selepas kali pertama pada 2006. Bagaimanapun, jika dibandingkan kali ini lebih teruk," katanya ketika ditemui di rumahnya, dekat sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Kampung Sawah Ring, Hussin Mohamed berkata, selain rumah penduduk, tiga warung menjual makanan, surau dan pondok menunggu bas mengalami kerosakan akibat ribut itu.

Katanya, mangsa ribut berkenaan kini ditempatkan di Balai Raya Sawah Ring buat sementara dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Ledang sudah memberi bantuan segera seperti makanan dan selimut kepada mereka.

Menurutnya, Pegawai Daerah Ledang, Ab Han Ramin; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gambir, M Asojan; Penghulu Mukim Grisek, Ishak Abu Bakar dan wakil Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri turut melawat mangsa serta menghulurkan bantuan.

SUMBER: HARIAN METRO, 23 MAC 2012

Tiada ulasan: