LEDANG 7 Okt. - Impian seorang bekas tentera untuk memiliki kediaman
sendiri tercapai apabila dipilih sebagai penerima bantuan rumah menerusi
program 1Malaysia Baikpulih Rumah Veteran Tentera oleh Jabatan Hal
Ehwal Veteran (JHEV) negeri.
Pembinaan rumah Latimin Kasiro oleh 11 anggota Rejimen Askar Jurutera
Diraja (RAJD) Kem Mahkota Kluang di Lorong 5, Kampung Sawah Ring, Bukit
Gambir dekat sini dengan kos RM45,000 itu bermula 28 Ogos lalu dan
dijadual siap pada 20 Oktober ini.
"Saya amat gembira menerima rezeki tidak dijangka ini, sekali gus
mengakhiri penantian lebih 20 tahun untuk menyediakan rumah yang selesa
buat keluarga saya," katanya ketika ditemui semasa lawatan Pegawai
Rejimen Jurutera 3 Divisyen Kem Mahkota Kluang, Mejar Surihan Md. Lani
dan Ketua Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Cawangan Muar,
Shamsudin Rais di rumahnya hari ini.
Bapa kepada lima anak berusia antara tiga hingga 13 tahun itu
berkata, rumah tersebut dibina atas tanah pusaka miliknya berhampiran
tapak rumahnya yang terbengkalai enam tahun lalu.
"Sekarang saya menyewa berdekatan dengan rumah ini dengan kadar RM150
sebulan. Sejak berhenti tentera, saya tidak ada pekerjaan tetap dan
hanya melakukan kerja kampung untuk sara keluarga.
"Rumah lama dibina dengan guna sebahagian daripada wang pampasan
ketika berhenti tentera tetapi kerja-kerja pembinaan terpaksa dihentikan
kerana masalah kewangan," katanya.
Sebelum ini dia sering runsing memikirkan penyelesaian untuk
menyiapkan rumah terbengkalai itu, namun beban ditanggungnya sedikit
berkurangan apabila mendapat bantuan rumah tersebut.
Latimin berkata, dia mengetahui tawaran bantuan itu ketika mengikuti
kursus keusahawanan anjuran PBTM di Kompleks Sri Pekembar, Pagoh, pada
November lalu dan berterima kasih atas keprihatinan pihak terbabit
kerana membantunya.
Dia yang merupakan pesara tentera tidak berpencen menamatkan
perkhidmatan terakhirnya yang berpangkat sarjan di Kem Mahkota Kluang
selepas 18 tahun menyertai pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada
1999.
"Saya terpaksa berhenti kerana tidak mahu berjauhan dengan keluarga
apabila mendapat arahan berpindah bertugas ke Sibu, Sarawak, meskipun
tempoh bersara hanya tinggal tiga tahun.
"Saya akui kadang-kadang rasa menyesal dengan tindakan tersebut
tetapi apa yang saya lakukan adalah pengorbanan untuk keluarga,"
katanya.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 08 OKTOBER 2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan