utusanjohor@utusan.com.my
LEDANG 10 Okt. - Varieti padi baharu, MRQ 74
dengan penanaman secara sistem intensifikasi (SRI) akan diperkenal di
1,531 hektar sawah di seluruh negeri ini tahun depan bertujuan
meningkatkan hasil selain mengurangkan kebergantungan terhadap beras
wangi import.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Asas Tani negeri, Ismail Mohamad
berkata, penggunaan benih itu dengan kaedah penanaman SRI adalah
berasaskan konsep pertanian semulajadi (NF) untuk menghasilkan kualiti
beras yang bermutu, bersih, halal dan terjamin selamat.
"Kelebihan MRQ 74 yang merupakan varieti Maswangi adalah kandungan
gula di bawah 40 peratus berbanding varieti lain. Begitu juga varieti
ini tahan serangan penyakit dan dihasilkan pihak Universiti Kebangsaan
Malaysia (UKM).
"Produktiviti MRQ 74 melalui SRI mampu mencecah antara lima hingga
enam tan metrik bagi sehektar berbanding tiga atau empat tan metrik
dengan benih biasa," katanya dalam sidang akbar selepas merasmikan Petak
Percubaan Pengurusan SRI Tanaman Padi MRQ 74 dan Majlis Penerangan
Pembangunan Pertanian Muar/Ledang di Kesang Tasek di sini hari ini.
Yang turut hadir Timbalan Pengarah Pertanian negeri, Mustapha Omar dan Pegawai Pertanian Daerah Ledang, Abdullah Rashidi.
Ismail berkata, dengan benih dan kaedah itu bukan sahaja hasil mampu
meningkat antara 50 hingga 100 peratus tetapi juga menjimatkan
penggunaan benih sehingga 90 peratus dan penggunaan air 25 hingga 50
peratus.
Beliau berkata, kos pengeluaran khasnya penggunaan baja dan racun
kimia untuk mengawal serangga atau penyakit yang secara langsung
menjejaskan alam semula jadi dapat dikurangkan selain mengembalikan
kesuburan tanah melalui penggunaan mikro organisma efektif (EM).
Beliau berkata, penggunaan benih dan sistem itu di negeri yang bukan
jelapang padi seperti Johor dapat bertahan dalam musim kemarau dan
proses menggembur tanah hanya perlu dilakukan dua kali berbanding
kebiasaannya dilakukan beberapa kali.
"Cara yang dipanggil NF ini lebih mesra alam dengan mengembalikan
semula keseimbangan alam semula jadi. Misalnya hidupan air di sawah
seperti ikan haruan, keli, sepat, belut dan puyu kembali membiak serta
hidup dengan baik.
"Serangga berguna akan hidup bebas serta bantu ekosistem sawah padi
dengan baik. Kaedah ini juga dapat mengamalkan cara-cara membuat baja
dan biopestisid semula jadi untuk mencegah perosak dan penyakit tanaman
padi," katanya.
Sementara itu, Mustapha berkata, penggunaan SRI diterima pakai di 50
buah negara, antaranya Jepun, India, Nepal, Sri Lanka, Indonesia,
Thailand, Kemboja, Vietnam, Brazil, Panama dan Mesir sebagai kaedah
alternatif untuk hasil tuaian berganda.
Di Johor, katanya, Ledang terpilih sebagai projek perintis kerana 60
peratus daripada pengeluaran padi di negeri ini disumbangkan dari daerah
ini yang mempunyai kawasan tanaman padi seluas 580.16 hektar dengan 399
peserta.
Beliau berkata, terdapat lima kawasan sawah padi utama di sini iaitu
di Kesang Tasek dengan keluasan 74.70 hektar melibatkan 48 peserta,
Kesang Gate (32.4 hektar dengan 30 peserta), Pulau Penarek (50.7 hektar
dengan 11 peserta), Telok Rimba (151.52 hektar dengan 90 peserta) dan
Sawah Ring (270 hektar dengan 220 peserta).
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 11 OKTOBER 2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan