PENGUNJUNG SETIA

18 Oktober 2013

SAHRIHAN DIPILIH KETUA PEMUDA UMNO LEDANG YANG BARU


Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ledang, Sahrihan Jani (tengah) bersama calon yang bertanding merebut jawatan tersebut Kasturi Abd Kadir (kiri) dan Dato’ Md Ismail Hamdan (kanan) pada persidangan perwakilan yang diadakan di Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Ledang dekat Serom. Foto-iNFOLEDANG

Ledang: Dengan membawakan moto “Bersama Menterjemah Aspirasi”, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ledang  yang baru, Sahrihan Jani, 36, (Gambar bawah) berharap hasrat dan impian anak muda dapat diterjemahkan serta difahami bermula dari peringkat akar umbi.

Katanya, tugas kepimpinan pemuda hari ini untuk memastikan UMNO kekal relevan dalam kalangan anak-anak muda dengan mengadakan pelbagai program yang menarik minat mereka.

“Apa yang penting kita perlu aktifkan program pemuda di peringkat akar umbi. Apabila mereka nampak ada program diadakan, bermakna UMNO itu wujud dan sayangkan mereka.

“Sebagai timbal balasnya, mereka perlu menyayangi UMNO sebagai wadah menyatukan semua ahli pergerakan ini terutama di peringkat akar umbi,” katanya ketika ditemui selepas Persidangan Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Ledang di Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Ledang, dekat Serom.

Dalam pemilihan itu, Sahrihan yang juga seorang peguam mendapat 205 undi menewaskan dua pencabarnya iaitu Dato’ Md Ismail Hamdan (116) dan Kasturi Abd Kadir (34).

Sahrihan berkata, sesetengah pihak beranggapan UMNO dilihat sebagai badan elit, seolah-olah pemimpinnya terdiri daripada golongan elit saja namun ia perlu dijadikan sebuah badan siasah yang memahami denyut nadi masyarakat.

Selain itu, katanya, golongan pemuda perlu menjadi kumpulan pendesak yang matang dengan membawa hasrat akar umbi kepada pihak yang sepatutnya bukan dengan cara dulu yang menggunakan demonstrasi dan sebagainya.
 

Katanya, bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) 14, sayap pemuda perlu bersiapsiaga mulai sekarang dengan melakukan gerak kerja berterusan dan bukannya apabila hampir PRU baru bergerak.

“Kita perlu bergerak dari sekarang supaya apabila tiba PRU kelak kita telah siap sedia dengan segalanya termasuk bilik gerakan, daftar pemilih dan gerak gempur.
“Kita sedang dalam rangka menyiapkan pelan tindakan pemulihan dan pengupayaan pemuda yang akan merangkumi peringkat zon, cawangan dan bahagian,” katanya.

Sahrihan berharap pelan tindakan itu dapat menyatukan semua pemuda di peringkat akar umbi dan dapat bergerak seiring yang akhirnya tiada pihak yang tertinggal.

Dalam pemilihan itu, Mohammad Jamil Helmi Datuk Abdul Ghani berjaya menyandang jawatan Naib Ketua Pemuda Ledang dengan memperoleh 288 undi menewaskan pencabarnya Mohd Razali Ismail yang mendapat 59 undi.

Bagi sayap Wanita pula, Khairin-Nisa’ Ismail berjaya menyandang jawatan Ketua Wanita dengan mendapat 322 undi menewaskan pemangku Ketua Wanita sesi lalu, Maimunah Sarpah yang mendapat 210 undi.

Naib Ketua Wanita pula disandang Zaiton Kairan yang mendapat 275 undi menewaskan pencabarnya Kamsiah Daros dengan 210 undi.

Tiada pertandingan bagi jawatan Ketua dan Naib Ketua Puteri yang mengekalkan penyandang masing-masing iaitu Fahariyah Md Nordin dan Norazizah Omar. -iNFOLEDANG

Tiada ulasan: