PENGUNJUNG SETIA

27 Oktober 2013

PELAKSANAAN GST YAKINKAN PELABUR ASING

LEDANG 26 Okt. - Pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dalam sektor perniagaan dan perdagangan akan lebih meyakinkan pelabur luar untuk melabur berbanding cukai perkhidmatan dan jualan yang dilaksanakan ketika ini.

 
 
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir. Hamim Samuri berkata, GST juga mampu mengelakkan ketirisan kerana sistem pungutan cukai itu dilihat lebih berkesan termasuk memberi pertumbuhan positif terhadap pasaran saham.
 
 
"Ini bukan sistem baharu tetapi kaedahnya sahaja baharu. GST sudah dilaksanakan di 160 buah negara kecuali Malaysia, Brunei dan Myanmar. Pelaksanaan GST adalah mengikut standard dagangan antarabangsa dan negara kita akan diketawakan jika tidak melaksanakannya.
 
 
"Selama ini orang ramai membayar cukai berganda tetapi kerajaan tidak dapat mengutip hasil cukai tersebut. GST jauh lebih efisien kerana dapat menghalang peniaga mengelak daripada tidak membayar cukai," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Hari Terbuka Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Mikro 2013 Parlimen Ledang, di Dewan Jubli Intan, di sini hari ini.
 
 
Hamim mengulas kebimbangan rakyat mengenai cukai GST pada kadar enam peratus yang diumumkan dalam Bajet 2014 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam terutama kesannya kepada pelaburan asing.
 
 
Justeru katanya, dalam konteks dagangan melibatkan persaingan di peringkat antarabangsa, Malaysia tidak mahu ketinggalan dengan melaksanakan GST pada kadar enam peratus iaitu kadar yang paling rendah di Asia Tenggara.
 
 
Mengenai Bajet 2014, beliau berkata, belanjawan kali ini lebih fokus kepada membantu golongan berpendapatan sederhana dan rendah dengan pendekatan merasionalkan subsidi.
 
 
Jelasnya, subsidi yang selama ini turut dinikmati golongan kaya akan diberi secara terus kepada golongan sasar contohnya Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi pendapatan RM3,000 ke bawah ditingkatkan daripada RM500 sebelum ini kepada RM650 selain pertama kali diberi kepada isi rumah berpendapatan RM3,000 hingga RM4,000 sebanyak RM450.
 
 
"Jika pembangkang kata Bajet 2014 dan pelaksanaan GST menekan rakyat, ini adalah tidak betul. Informasi yang betul dan tepat mengenai GST perlu dijelaskan kepada rakyat bahawa cukai itu tidak akan membebankan mereka terutama golongan berpendapatan rendah," katanya.


SUMBER: MINGGUAN MALAYSIA, 27 OKTOBER 2013 

Tiada ulasan: