14 premis makan diarah tutup
Razali (kanan) memeriksa sebuah kedai makan dalam Operasi Bersepadu terhadap 70 premis di sekitar Ledang.


LEDANG - Pejabat Kesihatan Ledang mengarahkan 14 kedai makan di daerah ini, ditutup serta merta selepas didapati tidak mematuhi kriteria ditetapkan kementerian di bawah Akta Makanan 1983.

Operasi bersepadu dua hari dan berakhir semalam, terhadap 70 premis sekitar kawasan berkenaan, melibatkan kira-kira 62 anggota dan pegawai penguat kuasa termasuk dari Muar dan Segamat.

Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Kanan pejabat berkenaan, Razali Abd Hamid berkata, operasi dilakukan untuk meningkatkan penguatkuasaan ke atas kebersihan premis makanan.

Menurutnya, premis diarah tutup dua minggu bagi membolehkan pengusahanya menjalankan kerja pembersihan dan penambahbaikan mengikut garis panduan ditetapkan.

“Bagaimanapun tempoh itu (penutupan) boleh dipendekkan jika kebersihan premis memuaskan hati pejabat kesihatan dan mereka boleh berniaga semula.

“Sebaliknya jika terdapat pengusaha ingkar arahan (menutup premis), tindakan undang-undang akan dikenakan ke atas mereka,” katanya.

Beliau berkata, tindakan tegas diambil untuk memastikan kebersihan makanan yang dijual kepada orang ramai terjamin dan tidak mahu kejadian tidak diingini seperti keracunan makanan akibat pencemaran berlaku.

“Selain itu, sebanyak 37 premis diberi Arahan Kerja di bawah Seksyen 10 Akta Makanan 1983, sebagai usaha memberi kesedaran kepada pengusaha kedai makan mengenai aspek kebersihan bagi mengelak penyakit bawaan makanan.

“Ada premis yang diperiksa didapati melakukan lapan kesalahan serius dan kita terus mengeluarkan arahan penutupan,” katanya.

Katanya, kebanyakan premis tidak mengamalkan ciri kebersihan terutama di bahagian dapur, selain pekerja memakai aksesori pada jari dan tidak mengikut peraturan penyediaan makanan yang betul.

SUMBER: SINAR HARIAN, 22 MAC 2014