Nyaris maut bertembung lori
Keadaan motosikal Mohd Razariffin dan lori yang terbabit berdekatan Rawang, Jalan Muar-Tangkak, semalam. - Foto Sinar Harian


LEDANG - Seorang pekerja kilang biskut nyaris maut selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah lori, semalam.

Kejadian jam 1.15 petang itu berlaku berdekatan Rawang, Jalan Muar-Tangkak, dekat sini.

Mohd Razariffin Ithnin, 22, dalam perjalanan pulang ke tempat kerjanya yang terletak 100 meter dari sebuah warung di tepi jalan tempatnya makan tengah hari.

Apabila tiba di tempat kejadian, motosikalnya berkenaan terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori yang datang dari arah Muar menghala ke Sungai Mati sebelum lori itu terbabas lalu  melanggar sebatang pokok.

Razariffin cedera parah manakala pemandu terbabit tersepit selepas lorinya terbalik sehingga terpaksa menahan kesakitan hampir 20 minit akibat tersepit di tempat duduk pemandu.

Abang mangsa, Razaffendy, 23, berkata, adiknya dan pemandu terbabit yang dikeluarkan orang ramai akibat tersepit dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah di Muar.

Menurutnya, adiknya ketika itu hendak ke kilang untuk menyambung kerja sebelum terbabit dalam kemalangan dengan lori berkenaan.

“Adik saya cedera teruk kerana terkena salah sebuah pintu lori itu yang pecah selepas melanggar pokok,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ledang, Mohd Salleh Abd Razak ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut  dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

SUMBER: SINAR HARIAN, 11 MAC 2014