Sembunyi barang curi di rumah sewa
Mohamad Salleh menunjukkan barangan milik mangsa yang dirampas selepas menahan empat geng pecah rumah, 25 Februari lalu.


Sembunyi barang curi di rumah sewa
  Mohamad Salleh menunjukkan Toyota Camry yang digunakan suspek ketika melakukan pecah rumah di Taman Setia, Rawang dekat Sungai Mati.


LEDANG - Polis berjaya menumpaskan sekumpulan penjenayah pecah rumah membabitkan rampasan bernilai hampir RM160,000 di hadapan Medan Selera Jalan Bukit Gambir dekat Gersik, 25 Februari lalu.

Ketua Polis Ledang, Superintendan Mohamad Salleh Razak berkata, kesemua ditahan jam 4 petang menerusi Ops Cantas Khas anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) bersama Balai Tangkak.

Menurutnya, empat lelaki berkenaan ditahan berikutan kejadian pecah rumah seorang pemilik bengkel di Taman Setia, Rawang, dekat Sungai Mati, di sini pada 22 Februari, kira-kira jam 5 petang.

“Susulan tangkapan tersebut, polis menemui pelbagai barangan termasuk kereta Perodua Viva, komputer riba, barang kemas, set televisyen dan lima telefon bimbit yang dipercayai milik mangsa.

“Kesemua barangan itu disembunyikan di rumah sewa mereka di Bukit Gambir,” katanya pada sidang media di IPD Ledang, semalam.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati Toyota Camry yang ditemui ketika mereka ditahan adalah kenderaan curi yang dilaporkan hilang di Skudai, Johor Bahru tahun lalu.

Katanya, kereta itu yang menggunakan nombor pendaftaran palsu juga digunakan ketika melakukan  pecah rumah di Sungai Mati berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah berkenaan.

“Suspek berusia 23,36,38 dan 52 tahun dipercayai berasal dari Johor Bahru. Mereka disyaki terbabit dengan tiga kes pecah rumah iaitu dua di Johor Bahru dan satu di Ledang.

“Pemeriksaan lanjut mendapati suspek berusia 38 tahun mempunyai enam rekod jenayah lampau berkaitan dadah, pecah rumah, samun dan memiliki barangan curi sejak 2003,” katanya.

Katanya, manakala seorang lagi suspek berusia 36 tahun itu pula memiliki lima rekod berkaitan dadah dan jenayah yang dilakukan sejak 2001 selain positif dadah jenis syabu.

Mohamad Salleh berkata, kesemua suspek ditahan remah sehingga hari ini (4 Mac) dan akan dituduh di bawah Seksyen 457 kerana pecah rumah yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun serta dengan jika sabit kesalahan.

SUMBER: SINAR HARIAN, 04 MAC 2014