PENGUNJUNG SETIA

03 Mac 2014

PANTAU HARGA BARANGAN KEPERLUAN

Oleh Zulhisham Isahak
utusanjohor@utusan.com.my
HAMIM Samuri (kanan) membuat tinjauan harga barang keperluan harian di Pasar Awam Tangkak Ledang, Johor, kelmarin.

LEDANG 2 Mac - Para peniaga di daerah ini diminta tidak menaikkan harga barangan keperluan harian seperti ikan dan sayur-sayuran walaupun produk itu tidak termasuk dalam kategori harga kawalan.

 
Ahli Parlimen Ledang, Datuk Ir. Hamim Samuri berkata, para pembekal dan peniaga yang menaikkan harga barangan keperluan harian tanpa sebab dan sewenang-wenangnya sehingga membebankan pengguna akan dikenakan tindakan tegas oleh pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan yang sentiasa memantau keadaan itu.

 
"Pihak kerajaan boleh memantau harga barangan tersebut meskipun bukan barangan kawalan kerana kita mahu peniaga tidak mengambil kesempatan dengan mengaut keuntungan atau menaikkan harga sesuka hati tanpa mempedulikan kesusahan pengguna.

 
"Kita sentiasa mengambil kira rungutan pengguna tentang kenaikan harga ikan dan sayur-sayuran dalam pasaran dengan mengenal pasti punca sebenar kenaikan harga itu," katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan harga barangan keperluan harian di Pasar Awam Tangkak, di sini semalam.

 
Yang turut hadir, Ketua Penguat Kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Cawangan Muar, Md. Arifin Baharin dan Setiausaha Majlis Daerah Tangkak (MDT), Sulaiman Ismail.

 
Mengulas tinjauan tersebut, Hamim yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berpuas hati apabila peniaga meletakkan tanda harga pada semua barangan yang dijual walaupun cara pelabelan tidak standard.

 
Justeru, beliau meminta supaya cara pelabelan tanda harga dikemas kini bagi membolehkan pengguna dapat melihat dengan jelas selain memudahkan mereka membuat pilihan sebelum membeli.

 
Mengenai harga barangan yang dijual di pasar awam itu, Hamim berkata, peniaga memberitahu mereka mengambil keuntungan tidak banyak iaitu membeli daripada pembekal pada harga tertentu dan ditambah RM2 untuk harga jualan.

 
"Pada saya harga itu agak wajar untuk menampung kos perkhidmatan, pengangkutan dan susut nilai barangan yang dijual.

 
"Kerajaan akan membuat segala tindakan bermula dari pemeriksaan, perbincangan dan penguatkuasaan sekiranya pihak pembekal menaikkan harga sewenang-wenangnya," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 03 MAC 2014

Tiada ulasan: