LEDANG 21 Mei - Penderitaan seorang bekas pemandu lori, Samsi M.
Lazim, 48, bersama keluarganya selepas diserang angin ahmar, sakit
jantung dan kini hanya terlantar terus mendapat perhatian Pasaraya
Econsave Muar.
Pengurus Operasi Zon Selatan II Econsave, Lim Wet Khung yang ditemani
Pengurus Econsave Muar, Aw Wee Siang dan Pegawai Jabatan Kebajikan
Masyarakat (JKM) Ledang, Ab. Gani Ab. Bakar hari ini bukan sahaja
menyampaikan sumbangan, malah menawarkan kerja kepada anak Samsi semasa
melawat keluarga tersebut di Kampung Kesang Laut di sini.
Melihat sendiri keadaan keluarga Samsi, Wet Chung terus membuat
keputusan menawarkan kerja kepada anaknya, Nazatul Alia, 21, yang ketika
ini bekerja sambilan di sebuah pasar raya di Tanjung Agas.
Lebih menyedihkan, pendapatan Nazatul Alia tidak menentu
menyukarkannya membantu keluarga yang dihimpit kesusahan sejak bapanya
sakit dan tawaran itu sebagai pertolongan bagi jangka masa panjang
selepas pihaknya memberikan sumbangan sebelum ini.
"Kami juga tidak keberatan menerima seorang lagi anak Samsi iaitu
Ismail, 19, penuntut sebuah kolej di ibu negara yang kini sedang
menjalani latihan praktikal untuk bekerja di Econsave selepas tamat
pengajiannya nanti.
"Kami amat tersentuh apabila membaca laporan tentang kesusahan Samsi
dalam akhbar yang mempunyai tujuh anak berusia enam hingga 21 tahun
dengan lima daripadanya masih bersekolah," katanya.
Pada 17 Mei lalu, Utusan Malaysia menyiarkan penderitaan keluarga
Samsi yang tidak boleh bergerak dan bercakap serta memerlukan kira-kira
RM1,500 untuk membeli susu dan lampin pakai buang kegunaannya.
Isterinya, Rohaya Dol, 47, mengambil tugasnya mencari rezeki tetapi
agak terbatas kerana terpaksa menjaga suaminya itu dan hanya mampu
mengambil upah membuat peralatan sembahyang di Jalan Bakariah dengan
pendapatan RM200 sebulan.
Sementara itu, Ab. Gani berkata, pihaknya akan terus bekerjasama
dengan Econsave untuk membantu dan memastikan keluarga miskin di sini
yang benar-benar memerlukan mendapat bantuan seperti Samsi.
"Samsi menerima bantuan Majlis Agama Islam Negeri Johor sebanyak
RM400, bantuan JKM (RM450) dan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT)
pada 2007," katanya.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 22 MEI 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan