PENGUNJUNG SETIA

26 Mei 2014

SME BANK TAJA KEMUDAHAN TUTOR ONLINE UNTUK TIGA SMA

LEDANG 25 Mei - SME Bank melaksanakan tanggungjawab korporat (CSR) dengan menaja kemudahan Tutor Online kepada 100 pelajar daripada tiga buah Sekolah Menengah Agama (SMA) dalam Parlimen Ledang.

Pengarah Urusan Kumpulan SME Bank, Datuk Mohd. Radzif Mohd. Yunus berkata, penajaan itu selaras dengan perkembangan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang memberi kesan besar ke atas sistem pendidikan negara.

“Dalam mengharungi era globalisasi pelajar tidak boleh ketinggalan mempelajari dan mening­katkan diri dengan tekno­logi terkini termasuk bidang ICT, penggunaan kaedah e-learning kini menjadi lumrah di sekolah dan institusi pengajian tinggi. Berdasarkan faktor ini, SME Bank berbesar hati menaja Tutor Online kepada tiga buah sekolah di sini.

“Tutor Online adalah program pembelajaran dalam talian yang mem­bolehkan pelajar mendapat akses kepada nota pelajaran yang dikongsi secara dalam talian," katanya berucap da­lam Majlis Penyampaian Sumbangan Tutor Online SME Bank kepada tiga buah Sekolah Menengah Agama (SMA) dalam Parlimen Ledang di Dewan Syed Idrus Al-Habshi, SMA Lughatul Quran, Kesang Tasek, di sini semalam.

Majlis itu disempurnakan oleh Tim­balan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir. Hamim Samuri yang turut dihadiri Pengerusi Eksekutif Perfisio Solutions Sdn. Bhd.; Datuk Abu Hanipah Pandak Yahya; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Abd. Razak Minhat dan Pegawai Pendidikan Agama Daerah Ledang, Khalid Ithnin.

Dalam majlis itu, SMA Lughatul Quran, Kesang Tasek; SMA Lughatil Arabiah, Tangkak dan SMA Darul Ulum, Serom 4 menerima kemudahan Tutor Online tersebut.

Mohd. Radzif berkata, menerusi kemudahan aplikasi berbentuk interaktif itu, pelajar membuat penilaian kendiri dan menentukan tahap pembela­jaran berdasarkan kemampuan masing-masing.

Katanya, SME Bank berharap pelajar yang menerima kemudahan itu dapat menggunakannya sebaik mungkin untuk meningkatkan pencapaian akademik masing-masing dan secara tidak langsung dapat meningkatkan pencapaian sekolah.

Sementara itu, Hamim yang juga Ahli Parlimen Ledang memuji langkah SME Bank menaja kemudahan Tutor Online kepada tiga buah sekolah menengah agama sebagai permulaan menjadikan Ledang maju ke hadapan dalam pendidikan malah diharap dapat melahirkan golongan terpelajar yang mahir dalam agama.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 26 MEI 2014


Tiada ulasan: