LEDANG 20 Mei - Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri
(MITI) sedang mencari jalan bagi menyegarkan semula sektor perkilangan
dan industri di daerah ini yang semakin malap dan mungkin lumpuh jika
tidak diselamatkan.
Timbalan Menterinya, Datuk Ir. Hamim Samuri berkata, antara punca
utama kerana para pengusaha tidak lagi mendapat insentif daripada
kerajaan sehingga merencatkan produktiviti mereka.
Tinggal beberapa kilang sahaja yang masih bertahan. MITI kini
berusaha mencari jalan menerusi Perbadanan Perusahaan Kecil dan
Sederhana (SME Corp) untuk menghidupkan semula sektor industri di Ledang
yang malap.
Ini kerana sektor industri sebelum ini turut menyumbang kepada
pertumbuhan ekonomi di Ledang," katanya dalam Majlis Penyampaian Hak
Milik Tanah, Penyerahan Bantuan Bina dan Baik Pulih Rumah Bagi
Peruntukan Menteri Besar dan Penyampaian Sijil Inap Desa di Sekolah
Menengah Kebangsaan (SMK) Sagil di sini semalam.
Majlis itu disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled
Nordin dan turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri
Asas Tani negeri, Ismail Mohamed dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan,
Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong.
Hamim yang juga Ahli Parlimen Ledang berkata, bagi membantu
menghidupkan semula sektor tersebut, Kolej Komuniti Ledang, Kolej
Matrikulasi Ledang, Institut Latihan Perindustrian (ILP) Sagil dan Kolej
Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Ledang harus dimanfaatkan sepenuhnya untuk
melatih sumber manusia yang berkemahiran.
Selain tumpuan terhadap sektor industri dan pertanian, beliau
berkata, pihaknya juga memberi fokus untuk membangunkan lagi sektor
pelancongan yang ketika ini mendapat sokongan padu daripada kerajaan
negeri.
Untuk itu kita minta pegawai daerah, semua ketua jabatan dan ketua
kampung untuk melakukan transformasi Ledang sebagai sebuah destinasi
pelancongan berasaskan alam semula jadi dan memanfaatkan segala sumber
yang ada seperti kraf tangan, inap desa dan produk industri kecil dan
sederhana (IKS)," katanya.
Sementara itu, Mohamed Khaled mengakui lawatan kerjanya ke Ledang
begitu nostalgik kerana pernah bersekolah di sini sehingga tamat darjah
enam sambil menegaskan adalah penting bagi masyarakat di peringkat akar
umbi memahami dasar yang dilaksanakan kerajaan.
Beliau berkata, pembangunan daerah-daerah di bahagian utara negeri
ini seperti Ledang tidak serancak di selatan contohnya di Iskandar
Malaysia, Johor Bahru atau Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan dan
Petrokimia (Rapid) di Pengerang, Kota Tinggi.
Namun begitu, kerajaan negeri akan usahakan untuk membawa manfaat di
Iskandar Malaysia dan Rapid untuk sama-sama dirasai di utara Johor
supaya tidak ada daerah yang tercicir, selain dapat duduk sama tinggi
dan rendah dengan daerah lain," katanya.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 21 MEI 2014
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 21 MEI 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan