LEDANG 5 Mei - Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan akan
mengisytihar Ledang sebagai salah sebuah destinasi pelancongan di negeri
ini tahun depan bagi memperkenal keistimewaannya yang tidak terdapat di
tempat lain.
Ahli Parlimen Ledang, Datuk Ir. Hamim Samuri berkata, daerah ini
menawarkan pelbagai produk pelancongan yang berasaskan alam semulajadi
contohnya Gunung Ledang selain budaya dan makanan tradisi tempatan.
"Selain produk pelancongan sedia ada, penambahan produk baharu juga
mesti ditonjolkan contohnya permainan kemplingan iaitu persembahan muzik
masyarakat Jawa Ledang, masih ramai yang tidak tahu mengenainya.
"Begitu juga inap desa mesti disediakan. Ini semua dapat dapat
menarik kehadiran pelancong dalam dan luar negara ke daerah ini,"
katanya ketika ditemui dalam program Johor International Gunung Ledang
MTB Ride 2014 di Dataran Ledang, di sini kelmarin.
Yang turut hadir Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan
Kebudayaan Malaysia Negeri Johor, Mohammad Isa Abdul Halim; Pengurus SK
Event Pro Bike Management, Datin Sofea Karmila dan Timbalan Ketua UMNO
Bahagian Ledang, Datuk Abdul Rahim Talib.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan
Industri berkata, apabila kehadiran pelancong bertambah, secara langsung
turut meningkatkan ekonomi pengusaha industri pelancongan dan penduduk
tempatan.
Hamim berkata, seperti juga program tersebut, penganjurannya memberi
banyak manfaat kepada hotel dan inap desa selain perniagaan makanan,
pengusaha produk pelancongan serta industri kecil dan sederhana (IKS).
Sementara itu, Mohammad Isa berkata, program itu bertepatan dengan
Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014 dan pertandingan kayuhan basikal lasak
itu dapat memberi peluang kepada peminat sukan lasak itu melalui
pengamalan baharu di sini.
"Secara tidak langsung acara ini menjadi pencetus memperkenalkan inap
desa dikenali sebagai Homestay Ledang yang diiktiraf pihak kementerian
Mac lalu," katanya dan memberitahu program anjuran pihaknya dengan
kerjasama SK Event Pro Bike Management disertai 650 peserta dalam dan
luar negara.
Mohammad Isa berkata, peserta tempatan serta dari Australia,
Indonesia dan Singapura dilepaskan dari Dataran Ledang menuju ke Taman
Negara Gunung Ledang melalui trek yang mencabar termasuk ladang sawit
dan getah sebelum berpatah balik ke Dataran Ledang sejauh 40 kilometer.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 06 MEI 2014
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 06 MEI 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan