PENGUNJUNG SETIA

14 September 2012

AMAL TIGA KONSEP

Oleh Jamaludin Husin

LEDANG: Pengalaman mengurut rakan ketika bermain bola sepak, badminton dan sepak takraw sejak 30 tahun lalu, membolehkan warga emas, Daros Md Alui, 71, membuka Pusat Rawatan Perubatan Tradisional dan Urut Refleksologi di Kampung Tanjung Gading, Batu 3 di sini, sejak empat tahun lalu.

Lelaki yang lebih mesra dengan panggilan Pak Daros itu berkata, dia tidak akan menggunakan jampi serapah atau membaca mantera ketika mengurut pesakitnya dan hanya bermula dengan meminta izin dan berdoa kepada Allah supaya penyakit disembuhkan.

Daros yang berasal dari Kampung Sari Baru, Pagoh, Muar, dekat sini, berkata, ketika remaja dia aktif bersukan terutama bermain bola sepak, takraw dan badminton.

"Secara tidak sengaja saya sering diminta mengurut mereka yang terseliuh sama ada di tangan atau kaki ketika sedang bersukan, sama ada pemain bola sepak, badminton dan sepak takraw.

"Ketika itu timbul minat untuk mengurut kerana kebetulan mereka yang saya urut sembuh dan boleh meneruskan permainan," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Pak Daros berkata, minatnya menjadi tukang urut semakin mendalam apabila mereka yang sakit sendi dan sengal tubuh badan datang ke rumahnya di Pagoh untuk berurut.

Menurutnya, ketika mengurut dia mengamalkan tiga konsep iaitu berdoa kepada Allah, mengurut dengan yakin bahagian yang sakit akan pulih dan memakan produk dihasilkan menggunakan herba yang dijamin halal dan suci.

"Ketika saya berusia 40-an saya mendalami pengetahuan mengenai urutan secara tradisional di beberapa pusat perubatan termasuk di Kuala Lumpur, Selangor, Melaka dan Johor Bahru.

"Melalui pengalaman ketika berkursus, saya banyak menimba pengetahuan dalam bidang mengurut termasuk urutan refleksologi yang boleh melegakan tubuh terutama kaki dan sendi," katanya.

Menurutnya, langkah membuka pusat rawatan bertujuan memberikan perkhidmatan mengurut kepada masyarakat di Ledang termasuk mereka yang sakit pinggang dan lutut.

"Bukan kekayaan yang dicari, sebaliknya memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan supaya cepat sembuh," katanya.

Menurutnya, pusat rawatannya itu beroperasi bermula jam 9 pagi hingga 5 petang dan menyediakan perkhidmatan berbekam untuk membuang darah kotor dalam badan.

Selain itu, katanya, dia membekalkan produk kesihatan diluluskan Kementerian Kesihatan dalam usaha membantu pesakit meningkatkan tahap kesihatan.

"Sejak beroperasi empat tahun lalu, saya sudah memberikan rawatan kepada lebih 300 pesakit sekitar daerah ini dan Muar.

"Saya juga sedia menerima panggilan telefon daripada mereka yang menghidap penyakit sendi dan tubuh untuk memberikan rawatan di rumah mereka bergantung pada masa dan keadaan," katanya.

SUMBER: HARIAN METRO, 14 SEPTEMBER 2012

Tiada ulasan: