KUALA LUMPUR 5 Sept. - Laporan polis terhadap tindakan peserta
Perhimpunan Janji Bersih yang memijak gambar pemimpin negara dan
menghina Jalur Gemilang di Dataran Merdeka baru-baru ini terus meningkat
kepada 172 laporan setakat ini.
Hari ini, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), parti politik dan
individu terus membuat laporan bagi mendesak pihak berkuasa mengambil
tindakan terhadap pihak terlibat.
Antara NGO terlibat adalah Gabungan Anti Penyelewengan Selangor
(GAPS), Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Persatuan
Masyarakat India Kinrara dan Persatuan Sosial dan Kebajikan Masyarakat
Cina Puchong yang dihadiri kira-kira 50 individu.
Kesemua mereka hadir membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang pada pukul 3 petang.
Ketua Penerangan GAPS, Ramli Simbok (gambar) berkata, pihaknya
memandang serius perbuatan itu yang disifatkan sebagai kurang didikan
selain mampu mengancam keselamatan dan kestabilan negara.
Di MELAKA, kira-kira 400 ahli Wanita UMNO Bahagian Bukit Katil
mengadakan perhimpunan secara aman bagi membidas tindakan biadab
peserta Perhimpunan Janji Bersih tersebut.
Dalam perhimpunan selama hampir satu jam di Rumah Melaka, Bukit Katil
itu, kesemua mereka melaungkan rasa kecewa terhadap tindakan
penyokong-penyokong parti pembangkang itu yang tidak menghargai
kedaulatan negara.
Pelbagai sepanduk dibawa antaranya menuntut tindakan tegas diambil
dan mencadangkan agar peserta yang terlibat diusir dan digugurkan
kerakyatan.
Perhimpunan yang diterajui oleh Ketua Wanita UMNO bahagian itu, Datuk Hazizah Mohd. Sultan itu turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.
Di ALOR GAJAH, protes membantah tindakan biadab peserta Perhimpunan
Janji Bersih itu mencetuskan kemarahan warga Felda Tun Ghafar, Bukit
Bulat, Machap dekat sini apabila mereka berhimpun secara aman di hadapan
Japerun Bukit Bulat bagi mendesak tindakan diambil.
Kesemua mereka yang berjumlah seramai kira-kira 200 orang itu
berkumpul bermula pukul 5 petang sambil membawa kain rentang yang
mengecam tindakan peserta perhimpunan selain turut membakar baju T
berwarna kuning.
Di KOTA BHARU, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Kelantan turut membuat laporan berhubung isu sama di Balai Polis Kota Bharu.
Laporan dibuat pada pukul 10.30 pagi oleh Setiausaha Perkasa Kelantan, Sharif Mahmood bersama beberapa ahlinya.
Sharif ketika ditemui berkata, laporan tersebut bertujuan untuk
meminta polis melakukan siasatan berhubung tindakan biadab segelintir
peserta Perhimpunan Janji Bersih itu.
Di LEDANG, sebanyak 14 NGO di daerah itu membuat enam laporan
serentak semalam bagi membantah tindakan biadab para peserta Perhimpunan
Janji Bersih.
Laporan dibuat kira-kira pukul 3.30 petang di IPD Ledang yang
dihadiri lebih 50 ahli NGO terbabit dengan diketuai Naib Presiden
Gabungan NGO Melayu Johor cawangan Ledang, Huzahim Zaaba.
Antara NGO terlibat adalah Persatuan Bekas Tentera Malaysia,
Pertubuhan Seni Silat Sendeng, Gerakan Belia 4B, Perkasa, Pertubuhan
Dakwah dan Islamiah Malaysia (Pekida), Pertubuhan Tiga Enam Tiga dan
Majlis Belia Daerah Ledang.
14 NGO BUAT LAPORAN POLIS
Oleh : Zulhisham Isahak
Foto : Ishak Rahmad
LEDANG 5 Sept. - Sebanyak 14 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di daerah ini membuat enam laporan polis serentak bagi membantah tindakan biadab peserta Perhimpunan Janji Bersih yang memijak gambar pemimpin negara dan menghina Jalur Gemilang ketika sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 baru-baru ini.
Laporan dibuat kira-kira pukul 3.30 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Ledang, semalam yang dihadiri lebih 50 ahli NGO terbabit diketuai Naib Presiden Gabungan NGO Melayu Johor cawangan Ledang, Huzahim Zaaba.
Antara NGO terlibat ialah Persatuan Bekas Tentera, Pertubuhan Seni Silat Sendeng, Gerakan Belia 4B, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Pertubuhan Dakwah dan Islamiah Malaysia, Pertubuhan Tiga Enam Tiga dan Majlis Belia Daerah Ledang.
Huzahim yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Bekas Polis cawangan Muar dan Ledang berkata, rakyat Malaysia kini menarik nafas lega kerana tindakan mula diambil dengan penahanan pertama semalam iaitu penuntut kolej yang membuka seluar dan menayangkan punggungnya atas gambar Perdana Menteri.
Bekas pesara polis yang mewakili 14 NGO tersebut berkata, rakyat menantikan penahanan 10 lagi peserta yang terlibat itu bagi memberi pengajaran kepada awam untuk dijatuhkan hukuman setimpal dengan kesalahan.
"Kita bersyukur kerana dalam masa tidak sampai seminggu mereka yang melakukan perbuatan itu sudah dikenal pasti dan seorang daripadanya sudah mula diberkas. Kita harap tindakan tidak akan terhenti setakat ini sahaja.
"Kementerian Dalam Negeri (KDN) harus tegas dalam hal ini kerana melibatkan kepentingan awam dan maruah negara. Perbuatan ini secara tidak langsung memburukkan imej negara dan kita perlu menunjukkan ketegasan dalam menangani perkara ini," katanya.
Pada malam Khamis lalu, sambutan ambang merdeka sempena Hari Kemerdekaan ke-55 di Dataran Merdeka tercemar apabila peserta Himpunan Janji Bersih bertindak meminjak, mengoyakkan dan membakar malah menunjukkan punggung ke arah gambar Perdana Menteri serta isteri.
Dalam perhimpunan tersebut, penyokong pembangkang turut menuntut untuk menukar Jalur Gemilang dan terdapat beberapa peserta yang mengibar bendera berwarna merah putih seakan-akan bendera Singapura dan Indonesia.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Perkasa cawangan Ledang, Basri Siron mahu dalang di sebalik perhimpunan tersebut ditahan dan siasat kerana perbuatan berkenaan seakan sudah dirancang dari mula lagi.
Dia percaya pemimpin-pemipin parti polik pembangkang terlibat dalam kejadian itu tetapi takut dan menyembunyikan diri apabila perbuatan tersebut mencetuskan kemarahan rakyat Malaysia.
"Mereka yang tidak tahu menghormati bendera negara sendiri adalah musuh bangsa dan negaranya. Kita tidak mahu pengkhianatan lebih teruk dilakukan terhadap Jalur Gemilang yang sepatutnya dilindungi dan dihormati tanpa mengira bangsa, agama atau fahaman politik," katanya.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 06 SEPTEMBER 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan