PENGUNJUNG SETIA

21 September 2012

PADAH SIMPAN BARANG CURI

Wartawan Sinar Harian

Padah simpan barang curi
Harun menunjukkan barangan curi yang berjaya dirampas.
 
LEDANG – Tindakan berani dua wanita menyimpan barang curi milik rakannya yang terlibat dalam kegiatan  memecah masuk sebuah rumah mengundang padah apabila mereka ditahan polis pada 11 September lalu.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, serbuan kira-kira jam 1 pagi itu berdasarkan satu laporan kejadian pecah rumah di Taman Tanjung Gading, Tanjung Agas, dekat Sungai Mati pada 26 Mei lalu.

Menurutnya, berikutan itu polis membuat risikan dan menyerbu sebuah rumah di Taman Tun Syed Nasir, Sungai Mati, dekat sini serta menahan dua wanita yang masing-masing berusia 23 tahun.
“Mereka ditahan ketika sedang beristirehat di rumah milik keluarga salah seorang suspek.

“Hasil pemeriksaan di rumah berkenaan, polis menemui beberapa barangan dipercayai milik mangsa dalam kejadian pecah rumah di Taman Tanjung Gading,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang, di sini, semalam.

Beliau berkata, antara barangan yang dijumpai sebuah komputer riba, pendrive, lima telefon bimbit pelbagai jenama, dua jam tangan dan kamera digital yang disembunyikan dalam sebuah bilik.
Katanya, kesemua barang tersebut kemudiannya dirampas serta dibawa ke IPD Ledang.

“Kedua-dua wanita yang tidak bekerja itu ditahan untuk membantu siasatan, dan polis tidak menolak kemungkinan terdapat barangan curi yang sudah dijual.

“Mangsa seorang guru berusia 45 tahun menyedari rumahnya dipecah masuk sekembalinya pulang bercuti dari kampung,” katanya.

Dalam pada itu, Harun berkata, polis mencari seorang lelaki iaitu Khairul Azrul Abdul Latif, 20, dan alamat terakhirnya di Kampung Pulai, Merlimau, Melaka, untuk membantu kes siasatan.

“Kita percaya lelaki berkenaan masih berada di sekitar Melaka dan Ledang. Justeru pihak polis meminta kerjasama daripada orang ramai yang mengenali atau pernah melihatnya  supaya segera menghubungi IPD Ledang di talian  06-9781222  atau mana-mana balai polis berhampiran.

“Polis percaya akan dapat menyelesaikan kes tersebut dengan segera,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN, 21 SEPTEMBER 2012

Tiada ulasan: