PENGUNJUNG SETIA

25 September 2012

MANGSA KEBAKARAN BAKAL DAPAT RUMAH PPRT

LEDANG 24 Sept. - Pasangan warga emas yang kehilangan tempat tinggal selepas kediaman mereka musnah dalam satu kebakaran di Kampung Datuk Ngah, Sengkang Batu 20, Bukit Gambir, dekat sini Rabu lalu bakal menerima bantuan rumah baru tidak lama lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, M. Asojan berkata, pasangan malang itu menerima bantuan menerusi Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang dijadualkan pembinaannya awal Oktober ini sejurus Pejabat Daerah Ledang (PDL) mengeluarkan tender berkenaan kepada kontraktor.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri berkata, Bakar Mustapha, 85, dan isteri, Salimah Samin, 76, bertuah kerana PDL bersetuju memasukkan nama mereka sebagai penerima bantuan di bawah program itu.

"Secara kebetulan, Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) memperuntukkan dua unit rumah baru di bawah PPRT untuk disalurkan kepada penerima di kawasan DUN Gambir dan sebuah daripadanya saya masukkan nama Wak Bakar (nama panggilan Bakar) sebagai penerima kerana mereka memang layak menerima bantuan ini.

"Saya bersimpati dengan kejadian yang menimpa keluarga Wak Bakar dan akan berusaha membantunya," katanya ketika melawat tapak rumah Abu Bakar bersama Ketua UMNO cawangan Datuk Ngah, Mohd. Yasir Mohed dan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Gambir, Mohd. Shazarul Afidz Mohd. Khairuddin kelmarin.

Dalam kejadian pukul 6.30 petang Rabu lalu, rumah Bakar yang didudukinya sejak 37 tahun lalu musnah dijilat api dalam masa kira-kira 15 minit dan mengakibatkan kerugian dianggarkan RM60,000.

Berikutan itu pasangan tersebut terpaksa menumpang di rumah anak saudara di kawasan berdekatan dan tinggal sehelai sepinggang akibat tidak sempat menyelamatkan sebarang dokumen, barangan berharga atau pakaian.

Sementara itu, Mohd. Yasir berkata, nama mangsa memang ada dimasukkan dalam senarai permohonan bagi mendapatkan bantuan rumah PPRT bulan lalu sebelum kejadian tersebut berikutan keadaan rumah pasangan tersebut yang usang.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 25 SEPTEMBER 2012

Tiada ulasan: