LEDANG 17 Okt. - Kurang 24 jam selepas seorang
anggota polis dirempuh penjenayah di ibu negara semalam, seorang lagi
anggota pasukan itu berdepan detik cemas apabila 'diculik' dua
penjenayah di Serom dekat sini petang semalam.
Dalam kejadian pukul 7 petang itu, mangsa, Koperal Kamarullah Hawari,
40-an, dibawa menaiki kereta suspek sejauh satu kilometer sebelum
ditinggalkan di satu lokasi.
Semasa dilarikan dengan menaiki kereta suspek, Kamarullah turut cuba ditikam dengan pisau namun sempat mengelak.
Kejadian berlaku selepas Kamarullah yang bertugas di Pondok Bit Serom
menerima maklumat berhubung dua suspek berusia 20-an yang menaiki
sebuah kereta Proton Waja di sebuah stesen minyak.
Ketua Polis Daerah Ledang, Supritendan Harun Idris berkata, semasa
sampai di lokasi itu, seorang suspek berada dalam kereta sementara
seorang lagi berada di luar dan sedang mengisi angin tayar.
Kata Harun, anggota itu yang berseorangan kemudian meminta suspek
yang berada di dalam kereta supaya keluar untuk tujuan pemeriksaan
identiti.
"Namun tiba-tiba rakannya menyerbu dan berlaku pergelutan. Ketika
bergelut, mangsa ditarik ke dalam kereta sebelum suspek memecut laju.
"Semasa dalam kereta, mangsa turut diacu dengan pisau dan cuba ditikam tetapi sempat mengelak lalu bergelut.
"Dalam pergelutan itu, mangsa dicucuk dengan objek tumpul
menyebabkannya cedera di bahagian dada. Mangsa kemudian ditinggalkan
suspek di satu persimpangan di Serom 1," katanya ketika dihubungi di
sini.
Menurut beliau, Kamarullah kemudian memaklumkan kejadian itu di balai
polis berdekatan sebelum dihantar ke Hospital Tangkak untuk menerima
rawatan.
"Kita sedang mengesan kedua-dua suspek yang dipercayai lelaki warga
tempatan berusia dalam lingkungan 20-an. Kita percaya suspek pernah
terbabit dalam beberapa kes curi di sekitar daerah Ledang," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan