PENGUNJUNG SETIA

10 Oktober 2012

TIGA BALAI BOMBA BARU DIBINA

Muhammad Hanafiah Shariff (kiri) menyerahkan replika kunci kepada Ab. Ghani Daud sebagai simbolik penyerahan Balai Bomba Bukit Gambir di Ledang, semalam. 
 
LEDANG 9 Okt. - Tiga balai bomba baru akan dibina di pusat pentadbiran kerajaan negeri di Nusajaya, kawasan perindustrian Tanjung Langsat, Pasir Gudang dan Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang.

Pengarah Bomba dan Penyelamat negeri, Datuk Ab. Ghani Daud berkata, pembinaan balai baru itu dalam masa terdekat merupakan usaha memberi keyakinan kepada pelabur luar negara tentang aspek keselamatan, sekali gus menarik lebih banyak pelaburan.

"Pembinaan balai bomba baru itu adalah berdasarkan keperluan dan kepentingan di kawasan tersebut kerana apabila berlaku kebakaran atau kemalangan, lebih cepat bantuan dapat diberikan di tempat kecemasan iaitu dalam masa lima hingga tujuh minit seperti yang disasarkan.

"Ini akan memberi keyakinan kepada pelabur yang hendak melabur di negara kita. 

"Setakat ini kita sudah kenal pasti tapak untuk membina balai bomba baru itu contohnya di Nusajaya kita sedang berbincang dengan pemaju untuk membeli tanah yang harganya lebih RM8 juta, begitu juga di Tanjung Langsat yang harga tanahnya antara RM7 hingga RM10 juta," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Balai Bomba Bukit Gambir di sini hari ini.

Turut hadir Penolong Pengarah Cawangan Pelaksanaan dan Penyelenggaraan Projek Wilayah Selatan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Muhammad Hanafiah Shariff. 

Ab. Ghani berkata, bagi kawasan RAPID, pihak pengurusan pusat tersebut akan mempunyai pasukan bomba persendirian lengkap dengan jentera serta kemudahan yang diperlukan.

Beliau berkata, selain tiga kawasan komersial tersebut, sebuah lagi balai bomba dicadang untuk dibina di Pagoh berikutan daerah itu yang akan menjadi hab pendidikan tinggi selain mempunyai kawasan perindustrian.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pembinaan balai bomba di Ayer Hitam, Batu Pahat dengan kos RM9.8 juta dan sebuah lagi di Bandar Putra, Kulaijaya bernilai RM8.6 juta dijadual siap hujung tahun ini.

Menurutnya, kedua-dua balai tersebut akan beroperasi sepenuhnya pada awal tahun depan jika pembinaannya siap mengikut jadual dan masing-masing akan menempatkan 30 anggota dan pegawai.

Tiada ulasan: