PENGUNJUNG SETIA

02 Oktober 2012

TUTUP KEDAI MAKAN JADI DJ

Wartawan Sinar Harian

Jamal berasa seronok dapat menceriakan suasana dan menggembirakan orang ramai dengan suara emasnya.
Jamal berasa seronok dapat menceriakan suasana dan menggembirakan orang ramai dengan suara emasnya.
 
LEDANG - Berperwatakan sederhana, tetapi suara emasnya mampu memikat dan menghiburkan tetamu yang hadir dalam sesuatu majlis yang dikendalikannya sama ada majlis perkahwinan ataupun program karnival.

Kebolehan dimiliki pemilik nama, Jamal Nasir, 53, atau lebih dikenali dengan gelaran DJ Jamal Nasir menghiburkan tetamu adalah hasil pengalamannya selama 12 tahun menjadi juruhebah (DJ) dan pengurus acara.

Menurutnya, dia juga tidak kisah digelar DJ di kaki lima kerana sedar pekerjaannya itu sememangnya berada di kaki lima semata-mata untuk menghiburkan orang ramai juga menceriakan sesuatu majlis yang dikendalikannya.

“Keceriaan orang ramai adalah kepuasan diri saya, kerana tugas untuk membuatkan orang lain gembira bukanlah mudah.
“Meskipun ada ketikanya saya mempunyai masalah, tetapi demi untuk menggembirakan orang lain, segala masalah ini perlu diketepikan buat seketika,” katanya.
Katanya, dalam tempoh 12 tahun berkecimpung dalam bidang itu, dia sudah bergerak ke seluruh negara.

“Saya sering terlibat dalam program besar, antaranya Himpunan Perpaduan 1Malaysia di Batu Pahat pada tahun 2010 dan 2011. Juga karnival Suarasa dan Jelajah TV9 seluruh negara selama tiga tahun,” katanya.

Anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu gembira kerana penglibatannya dalam bidang itu secara tidak sengaja nyata tidak sia-sia apabila berjaya membesarkan tujuh anaknya dengan menggunakan hasil pendapatan sebagai DJ.

“Sebelum ini saya mengusahakan kedai makan di Tanjung Agas, tetapi hati meronta-ronta apabila minat dan bakat sebagai DJ tidak dimanfaatkan.

“Setelah berbincang dengan isteri, saya mengambil keputusan menutup perniagaan kedai makan dan menjadi DJ sepenuh masa,” katanya yang kini menetap di Sabak Awok, Jalan Ismail, dekat sini.

Jelasnya, dia bangga apabila tiga anaknya berjaya melanjutkan pelajaran di menara gading, yang mana anak keduanya menuntut dalam bidang perkapalan di Norway.

Menjadikan pengacara terkenal negara iaitu Aziz Desa dan Ahmad Tarmimi Sariger sebagai idola, DJ Jamal sentiasa membaiki penyampaiannya dengan meningkatkan pengetahuan melalui pembacaan.
“Selain bertanggungjawab untuk menceriakan suasana dalam majlis dan menggembirakan orang ramai, saya juga berhati-hati supaya maklumat yang disampaikan tepat serta mengandungi mesej,” katanya.
Katanya, dia tidak menggalakkan dan menghalang minat anak untuk mengikut jejak langkahnya dalam bidang itu, tetapi sebolehnya dia mahu kesemua anak-anaknya berjaya dalam pelajaran.

SUMBER: SINAR HARIAN, 02 OKTOBER 2012

Tiada ulasan: