PENGUNJUNG SETIA

24 Oktober 2012

ZARUL WAKILI NEGARA DALAM ASC


LEDANG 23 Okt. - Seorang pelatih Institut Latihan Perindustrian (ILP) Ledang dipilih mewakili negara dalam pertandingan kemahiran, ASEAN Skill Competition (ASC) di Jakarta, Indonesia pada November ini.

Pelatih jurusan Teknologi Komputer, Zarul Azali (gambar), 21, akan bertanding kategori Rangkaian Teknologi Maklumat (IT Network) mulai 14 November ini.

Anak kelahiran Batu Pahat dan masih menuntut dalam tahun pertama di ILP Ledang kini gigih membuat persiapan akhir dengan dibantu jurulatihnya, Al Hazari Jamal.

"Persiapan sudah lebih 80 peratus dibuat dan yakin akan membawa pulang pingat emas dalam ASC. Kategori yang saya sertai adalah mencipta rangkaian teknologi maklumat sendiri.

"Jika saya berpeluang mendapat pingat emas atau perak, ini akan melayakkan saya mewakili negara ke Pertandingan Kemahiran Dunia (WSC) 2013 di Leipzig, Jerman pada Julai tahun depan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

ASC merupakan pertandingan di peringkat Asia yang dianjurkan dua tahun sekali secara bergilir-gilir oleh negara terlibat dan memberi peluang kepada golongan belia berusia 17 hingga 22 tahun menunjukkan bakat dan kemahiran.

Zarul yang merupakan anak ketujuh daripada lapan beradik dipilih mewakili negara dalam ASC setelah memenangi pingat emas Pertandingan Kemahiran Malaysia (PKM) pada 2011.

Dia yang menerima bendera kontinjen Malaysia daripada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Majlis Perhimpunan Warga Kemahiran 2012 pada 10 Julai lalu berkata, ASC dijangka sengit kerana akan disertai wakil dari 10 negara serantau.

Sementara itu, Pengarah ILP Ledang, Adnan Ismail bersyukur dan bangga dengan penyertaan tersebut dan berharap anak buahnya dapat mengharumkan nama negara dengan memenangi pingat dalam pertandingan itu.

"Pelbagai persiapan sudah dijalankan seperti latihan insentif di makmal teknologi komputer di bawah pemantauan jurulatihnya serta latihan selama tiga minggu di bawah pemantauan pakar industri negara (PIN) yang diadakan di Shah Alam, Selangor," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 24 OKTOBER 2012

Tiada ulasan: