PENGUNJUNG SETIA

19 Oktober 2012

PELUANG NIKMATI GAJI LUMAYAN

Wartawan Sinar Harian

Peluang nikmati gaji lumayan
Adnan (dua, kanan) mengiringi Abdul Rahman bersalaman dengan pelatih ILP Ledang.
 
LEDANG - Golongan belia disarankan menyertai kursus di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Ledang terutama dalam bidang kimpalan bagi memperoleh Sijil Kimpalan 6G yang menjanjikan gaji lumayan.

Pengarah ILP Ledang, Adnan Ismail berkata, setelah memiliki sijil itu,  pasaran kerja sangat luas malah menjadi rebutan dalam industri perkapalan, dan binaan struktur serta kejuruteraan berat.

Menurutnya, pada permulaan mereka akan menerima gaji antara RM900 hingga RM6,000 dan ke atas bergantung kepada sesebuah syarikat.

“Mereka tidak perlu bimbang dengan peluang pekerjaan kerana ILP Ledang sentiasa menjalin kerjasama dengan syarikat dan wakil industri termasuk Petronas di negeri ini.

“Biasanya, gaji yang ditawarkan semasa wakil mereka datang ke ILP Ledang untuk menawarkan peluang pekerjaan adalah sama apabila pelatih bekerja nanti. Mereka menepati janji,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Program Sijil Profesional 6G di ILP Ledang, Sagil, dekat sini, baru-baru ini,

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kepakaran Kimpalan Institusi latihan Jabatan Tenaga Manusia, Abdul Rahman Said yang juga Pengerusi ILP Selandar.

Adnan berkata, peluang jurukimpal yang memiliki sijil berkenaan bukan  sahaja terhad perkhidmatannya di negara ini tetapi juga diambil bekerja  oleh syarikat luar dengan gaji berganda.

“Ada antara bekas pelatih ILP Ledang bekerja dengan syarikat luar antaranya di Singapura, Vietnam, Australia, Asia Barat dan Afrika dengan gaji kira-kira RM80 untuk satu jam.

“Pelatih ILP Ledang dalam bidang lain antaranya teknologi plastik, reka bentuk produk industri dan fabrikasi logam turut mempunyai banyak peluang pekerjaan khususnya di kawasan perindustrian Pasir Gudang dan Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) di Pengerang,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN, 19 OKTOBER 2012

Tiada ulasan: