PENGUNJUNG SETIA

06 Oktober 2012

ESEI: SK BANDAR TANGKAK HANTAR 50 PENYERTAAN

LEDANG 5 Okt. - Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Tangkak akan menghantar 50 penyertaan dalam Pertandingan Esei Kemerdekaan Ke-55 anjuran Gerakan Belia 4B Johor dan Utusan Malaysia Biro Johor yang berlangsung hingga Isnin ini.

Guru besarnya, Noraini Hayati Ahmad berkata, tenaga pengajar Bahasa Melayu akan membantu murid-murid dengan menyediakan bahan bacaan dan membuat rujukan di makmal komputer bagi memudahkan mencari maklumat.

“Dengan bantuan guru-guru Bahasa Melayu diharap peserta dapat menghasilkan karangan yang bermutu, selain ilham luar biasa kerana Internet adalah sumber dunia tanpa sempadan. 

“Sekolah ini mempunyai ramai murid berbakat dan menerusi pertandingan ini yang dianjur di peringkat negeri, besar harapan untuk mereka berjaya," katanya dalam siri jelajah promosi pertandingan esei itu yang diketuai Pengerusi Gerakan Belia 4B Johor, Syahrin Md. Jamaludin di sekolah berkenaan di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Syahrin berkata, pihaknya menerima sambutan menggalakkan sejak pertandingan tersebut dilancarkan awal bulan lalu.

Menurutnya, para peserta mendapat maklumat yang jelas dan terperinci, selain menyifatkan pertandingan berkenaan sebagai mencabar tetapi menyeronokkan.

“Menerusi usaha seperti ini, generasi muda terutamanya di peringkat sekolah dapat menyuarakan pandangan dan idea, selain meningkatkan pemahaman mereka tentang erti kemerdekaan sebenar," kata beliau. 

Sebanyak tiga kategori dipertandingkan iaitu Kategori A (Terbuka Belia), Kategori B (Pelajar Sekolah Menengah) dan Kategori C (Murid Sekolah Rendah). 

Setiap kategori meletakkan dua tajuk pilihan untuk dihuraikan oleh peserta.

Kategori A meletakkan dua tajuk iaitu Saya Pilih Malaysia dan Peranan Belia Melestarikan Keamanan Malaysia; Kategori B (Malaysia 55 Tahun Merdeka dan Janji Kunci Keamanan Negara) manakala Kategori C (Peranan Pelajar Meneruskan Pembangunan Negara dan Saya Anak Merdeka).

Pemenang Kategori A akan menerima hadiah wang tunai RM1,500 berserta telefon pintar, buku dan sijil diikuti tempat kedua (RM1,000) dan tempat ketiga (RM500).

1 ulasan:

Cetak Tshirt berkata...

Ni sekolah saya masa kecik dulu
Pada tahun 1998, aku telah dipilih mewakili prtndingan esei
Teringat siot